BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi jaminan bahawa bekalan petrol RON95 dan diesel negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh sehingga Julai ini meskipun ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat masih memberi tekanan kepada rantaian bekalan global ketika ini.
Perdana Menteri berkata, bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa termasuk situasi di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting bagi penghantaran minyak dunia.
“Petang ini pukul 6 petang, Presiden Iran (Masoud Pezeshkian) akan menghubungi saya melalui telefon. Hubungan baik ini membantu kita.
“Bila kita agak susah, kapal kita dan minyak kita mahu lalu Selat Hormuz, kita antara yang terawal dapat lepas dan sampai ke Pengerang. Sekarang minyak di Malaysia masih mencukupi. Ada negara lain yang sudah mula beratur di stesen minyak dan ada yang terpaksa menutup operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani untuk Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 260 ekor lembu korban disumbangkan oleh Perdana Menteri untuk diagihkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Permatang Pauh sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Difahamkan, program penyerahan sumbangan korban itu berlangsung dalam tiga siri majlis yang melibatkan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sekitar Parlimen Permatang Pauh.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, walaupun berlaku sedikit kenaikan harga akibat kos insurans dan tambang kapal yang meningkat, kerajaan tetap mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter demi menjaga kebajikan rakyat.
“Setakat yang kita mampu, RON95 kekal RM1.99. Beritahu negara mana yang lebih murah daripada Malaysia selain Brunei? Diesel walaupun naik, kita bantu melalui pelbagai inisiatif seperti Budi Madani untuk petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengajak rakyat menghayati semangat pengorbanan sempena Aidiladha dengan memperkukuh nilai kesabaran, keikhlasan dan kepedulian terhadap masyarakat.
Katanya, ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, sebaliknya mendidik umat Islam memahami erti pengorbanan dan berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
“Ibadah korban ini manfaatnya lebih besar apabila dapat disampaikan kepada fakir miskin, jiran tetangga dan masyarakat. Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan dan tidak ada erti kehidupan tanpa semangat daya juang,” katanya. – UTUSAN




