Kelantan TRW gagal dapat Lesen Kebangsaan MFL

Kelantan TRW gagal dapat Lesen Kebangsaan MFL

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) tidak berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan bagi kitaran pelesenan 2025–2026 selepas keputusan rasmi diumumkan badan bebas First Instance Body (FIB), hari ini.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berlangsung semalam di mana proses penilaian dibuat berdasarkan pematuhan enam kriteria utama pelesenan kelab.

Pemangku Pengerusi FIB, Hussaini Hussin berkata keputusan terbabit dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap dokumen permohonan yang dikemukakan oleh kelab terbabit.

“FIB juga mengesahkan bahawa Kelantan The Real Warriors (TRW) FC tidak diberikan Lesen Kebangsaan kerana permohonan yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL,” katanya, menerusi kenyataan hari ini.

Penilaian pelesenan itu membabitkan enam aspek utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan sebelum keputusan dimuktamadkan oleh FIB.

Dalam keputusan sama, tujuh kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen AFC dan Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.

Empat lagi kelab iaitu Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC pula diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ mengikut Artikel 8.2 MFL CLR.

Kelab berkenaan bagaimanapun perlu mengemukakan maklumat tambahan kewangan sebelum 15 Julai 2026 bagi melengkapkan keperluan kriteria kewangan dan infrastruktur, jika gagal ia akan dirujuk semula kepada FIB untuk tindakan lanjut.

Selain itu, FIB turut memaklumkan bahawa Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC dikenakan denda sebanyak RM45,000 di bawah Artikel 8 (f) MFL CLR, sebagai sebahagian daripada tindakan pematuhan yang ditetapkan.

Berdasarkan Artikel 3.2 (a) dan Artikel 8, untuk pemberian Lesen Kebangsaan sahaja, ketidakpatuhan kepada Kriteria Gred A dan B, pihak FIB boleh memberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘Sanction’.

FIB dalam masa sama akan terus menjalankan pemantauan berkala terhadap semua kelab yang menerima lesen berserta ‘sanction’ bagi memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top