YALA (THAILAND): Seorang pemimpin sayap pemuda kumpulan pemisah yang aktif di Wilayah Yala dan menjadi buruan pihak berkuasa, maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Daerah Kabang di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek dikenali sebagai Saidi Takuena, 33, dilaporkan bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Lubo Panjang, Kabang sebelum enggan menyerah diri selepas diarahkan berbuat demikian oleh pasukan keselamatan.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, operasi berkenaan dilancarkan selepas hasil risikan mendapati seorang anggota kumpulan pemisah yang dikehendaki dipercayai berlindung di rumah tersebut.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dan tentera kemudian mengepung kawasan berkenaan dengan kerjasama pemimpin tempatan bagi memujuk suspek supaya menyerah diri secara aman.
“Bagaimanapun, suspek tidak mengendahkan arahan itu sebaliknya melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.
“Tindakan agresif tersebut memaksa pasukan operasi membalas tembakan bagi memastikan keselamatan anggota keselamatan serta penduduk awam di sekitar kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, selepas situasi kembali terkawal, anggota keselamatan menyerbu rumah tersebut sebelum menemukan mayat suspek di dalam sebuah bilik bersama senjata api dan peluru.
Katanya, Saidi mempunyai beberapa waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah selepas disyaki terlibat dalam beberapa siri keganasan di Wilayah Yala sejak 2015 termasuk memiliki bahan letupan buatan sendiri dan senjata api.
“Suspek juga dipercayai terlibat dalam kejadian pengeboman serta pembakaran sebuah stesen minyak di Daerah Kabang pada 11 Januari lalu,” katanya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut merampas senjata api dan peluru selain menahan pemilik rumah serta beberapa individu lain bagi membantu siasatan kerana disyaki memberi perlindungan dan bantuan kepada suspek. – UTUSAN




