Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat pihak tertentu cuba mempergunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau untuk meraih perhatian serta populariti di media sosial.
Menerusi kenyataan di media sosial rasmi, baginda bertitah, seseorang perlu memahami terlebih dahulu Perlembagaan Persekutuan termasuk perbezaan antara negeri bersekutu dan negeri tidak bersekutu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut.
“Kefahaman yang cetek mengenai perkhidmatan ketenteraan dan perkara berkaitan Perlembagaan hanya mencerminkan kegagalan untuk benar-benar memahami pengorbanan, disiplin, tanggungjawab dan realiti yang dihadapi oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Adalah juga amat malang apabila kebimbangan hanya dibangkitkan secara terpilih terhadap latihan ketenteraan, sedangkan terdapat pelbagai lagi isu penting melibatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat menerima perhatian dan keutamaan yang jauh lebih rendah,” titah baginda.
Tunku Ismail turut menegaskan bahawa baginda sentiasa berdiri teguh bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada anggota tentera negara.
Berhubung latihan serta eksesais ketenteraan, baginda bertitah ATM mempunyai ruang, kuasa dan kerjasama sewajarnya untuk melaksanakan sebarang bentuk latihan di Johor.

Menurut baginda, latihan seperti itu amat penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan serta memperhalusi kemahiran bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Institusi DiRaja Johor dan Kerajaan Negeri Johor juga akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

Dalam pada itu, Tunku Ismail bertitah segala pengorbanan, dedikasi dan khidmat anggota ATM perlu sentiasa dihormati serta dihargai.
Baginda turut menegaskan anggota tentera tidak seharusnya berdepan halangan yang tidak perlu dalam melaksanakan latihan dan eksesais operasi penting demi pertahanan negara.
“Tidak sepatutnya juga wujud sebarang layanan berat sebelah terhadap mana-mana unit atau rejimen tertentu kerana setiap individu yang menyarung uniform berkhidmat dengan penuh kehormatan, kesetiaan dan pengorbanan serta layak menerima penghormatan dan pengiktirafan setinggi-tingginya.
“Sokongan saya bukan sahaja terhad kepada mereka yang masih berkhidmat, malah turut meliputi anggota tentera yang telah bersara atau bakal bersara.
“Pintu Johor akan sentiasa terbuka buat mereka sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan dan jasa yang tidak ternilai kepada negara,” titah Tunku Ismail lagi.
Sumber: Facebook HRH Crown Prince Of Johor




