mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Seorang lelaki ditemukan lemas di sebuah tasik di kawasan Bandar Sunway, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 4.44 petang.
Menurutnya, mangsa adalah lelaki tempatan berusia 32 tahun ditemui lemas sebelum polis dan bomba tiba di lokasi bagi memberikan bantuan awal.
“Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan kematiannya disahkan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Buloh.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut SDR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tujuan bedah siasat.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Ketua Polis Balai Bandar Sunway, Inspektor Liew Wai Leong di talian 03-5638 2122 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




