New York: Mauricio Pochettino menyenaraikan Giovanni Reyna dalam skuad 26 pemain Amerika Syarikat (AS) ke Piala Dunia, empat tahun selepas pemain tengah itu hampir dihantar pulang ketika kejohanan di Qatar berikutan konflik dengan bekas jurulatih Gregg Berhalter.
Pemain tengah menyerang Borussia Monchengladbach itu tampil sebagai pemain gantian ketika AS tewas kepada Belgium dan Portugal pada aksi persahabatan Mac lalu selepas berjaya menarik perhatian Pochettino ketika aksi antarabangsa November tahun lalu.
Reyna hanya beraksi beberapa kali di peringkat kelab sejak awal tahun dengan lapan penampilan Bundesliga sebagai pemain gantian bersama Monchengladbach.
Namun pemain berusia 23 tahun itu masih dianggap antara pemain serangan paling berbakat dalam skuad Pochettino menjelang aksi pembukaan Kumpulan D menentang Paraguay di Los Angeles pada 12 Jun.
Reyna mencetuskan kontroversi besar di Doha empat tahun lalu apabila hampir disingkirkan daripada kem latihan oleh Berhalter susulan sikapnya ketika latihan.
Insiden itu kemudian membawa kepada tindakan ibu Reyna memaklumkan kepada US Soccer mengenai pergaduhan fizikal pada 1991 antara Berhalter dan teman wanitanya ketika itu yang kini isterinya, sekali gus mencetuskan siasatan rasmi.
“Kami menilai dan menganalisis semua situasi sebelum memutuskan 26 pemain dalam skuad ini,” kata Pochettino ketika mengumumkan skuadnya pada satu majlis rasmi di New York pagi tadi.
Beliau berkata keseimbangan terbaik dalam pasukan menjadi faktor utama pemilihan.
Pengendali dari Argentina itu enggan mengulas mengenai beberapa nama besar yang tercicir termasuk pemain Lyon, Tanner Tessmann, sambil terus meletakkan kepercayaan kepada tonggak seperti Tyler Adams.
“Saya rasa tidak wajar bercakap mengenai pemain yang tidak dipilih kerana ia tidak menghormati pemain yang berada dalam skuad.
“Saya tahu bagaimana rasanya tercicir. Pada Piala Dunia 1994 di AS, saya juga hampir terlepas tempat sebelum akhirnya dipilih. Sebab itu saya tahu ia amat menyakitkan, tetapi ini tugas saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




