firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemelut tunggakan gaji dan isu kewangan yang menghimpit Kuala Lumpur City FC (KL City) dijangka menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat selepas pengurusan kelab mula menunjukkan perkembangan positif.
Penaung kelab, Datuk Fahmi Fadzil berkata beberapa langkah penstrukturan semula sudah dilaksanakan bagi memastikan pengurusan pentadbiran dan kewangan pasukan lebih stabil menjelang musim baharu.
Menurut beliau, pelbagai kelemahan yang sebelum ini menjadi punca kepada masalah dalaman kelab kini sedang diperbaiki secara berperingkat selepas berlaku perubahan dalam pengurusan.
“Kita sudah lakukan beberapa penambahbaikan dan saya melihat banyak perkara berada pada landasan yang lebih baik sekarang.
“InsyaAllah isu berkaitan dana tidak lagi menjadi masalah besar seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan aspek pentadbiran dan kewangan diperkukuhkan supaya isu sama tidak terus menghantui kelab.
Beliau turut memberi bayangan bahawa beberapa perkara lain sedang diuruskan termasuk membabitkan syarat pelesenan kelab bagi memastikan KL City tidak berdepan sebarang masalah untuk menghadapi musim depan.
“Kita sedang selesaikan beberapa lagi perkara penting supaya proses pelesenan berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya.
Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan hukuman denda RM45,000 terhadap KL City FC serta sebuah lagi kelab susulan pelanggaran Artikel 8(f) Peraturan Pelesenan Kelab MFL CLR.
Hukuman itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL yang berlangsung semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




