am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Lebih 30 orang kurang upaya (OKU) pekak dan cacat penglihatan teruja menjayakan ibadah korban anjuran Kelab Media Perdana Terengganu (Metra) di Masjid Al Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini, hari ini.
Program yang julung kali menghimpunkan pengamal media bersama komuniti OKU itu berlangsung dalam suasana meriah apabila peserta bersama-sama bergotong-royong melapah, memotong dan mengagihkan daging korban kepada golongan memerlukan.
Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, pembabitan komuniti OKU dalam program berkenaan memberi pengalaman cukup bermakna kepada ahli persatuan.
Menurutnya, kami ahli Pertis teruja kerana dapat merasai sendiri suasana ibadah korban secara lebih dekat selain berpeluang bergaul dengan masyarakat.
“Biasanya ahli kami hanya hadir sebagai penerima sumbangan atau tetamu tetapi kali ini kami sendiri terbabit membantu proses penyediaan daging korban.
“Walaupun tidak dapat melihat namun kami tetap mahu menyumbang tenaga dan semangat dan itu sangat mengagumkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, ahli-ahli Pertis yang hadir turut dibantu sukarelawan bagi memastikan urusan pemotongan dan pembungkusan daging dapat dilakukan dengan lancar serta selamat.
Fauzi berkata, program seumpama itu secara tidak langsung membuka mata masyarakat bahawa golongan OKU juga mampu memainkan peranan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kembara Orang Pekak Terengganu, Mohd Asali Razali Ali berkata, kira-kira 30 ahli persatuan berkenaan menyertai program itu sejak awal pagi.
“Walaupun berdepan kekangan komunikasi, ia tidak menghalang ahli-ahlinya untuk bekerjasama dengan peserta lain sepanjang program berlangsung.
“Mereka dilihat sangat seronok kerana dapat berjumpa ramai orang dan melakukan aktiviti bersama-sama. Program seperti ini dapat meningkatkan keyakinan diri komuniti OKU pekak.
“Malah ada yang pertama kali menyertai ibadah korban secara gotong-royong dan mereka berharap program begini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Metra, Zaid Mohd Nor berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mendekatkan pengamal media dengan komuniti OKU selain menyemarakkan semangat kebersamaan sempena Aidiladha.
Menurutnya, sebahagian daging korban turut diagihkan kepada golongan asnaf termasuk komuniti OKU di sekitar Kuala Nerus.
“Metra mahu mewujudkan suasana inklusif supaya semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama menikmati kemeriahan ibadah korban tanpa mengira kekurangan atau latar belakang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




