KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk melaksanakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyelesaikan isu peletakan jawatan 20 pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan, baru-baru ini.
EXCO Biro Politik PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, AMK Pandan tidak terbubar susulan peletakan jawatan berkenaan dan perkara itu sudah dibincangkan dalam Biro Politik parti.
“Pelantikan jawatankuasa baharu AMK Pandan terpulang kepada pemimpin sayap Pemuda PKR dengan ketetapan lanjut akan diumumkan kelak,” katanya ketika ditemui pada program Korban Perdana AMK Pandan dengan kerjasama Dagang Avenue, Kompleks Muhibah dan Genk 2026.
Kelmarin, bekas Timbalan Ketua AMK Pandan, Haqimi Zamri dilapor mengesahkan 20 surat peletakkan jawatan kepimpinan sayap itu sudah dihantar ke e-mel rasmi keanggotaan PKR.
Susulan itu, Haqimi mendakwa Ketua AMK Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin tidak lagi sah untuk bertindak atau berperanan bagi jawatan berkenaan.
Haqimi turut mendakwa, AMK Pandan seharusnya dianggap terbubar secara automatik kerana hilang lebih dua pertiga Ahli Jawatankuasa selaras Fasal 15.11 Peraturan Tetap AMK serta Fasal 37.12 Perlembagaan PKR yang dibaca bersama Fasal 32.4.
Sementara itu, Mohd Ifwat Amir berkata, AMK Pandan masih kukuh biarpun berdepan kontroversi berkenaan selain menjelaskan pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu akan dibuat selepas keputusan mengenainya ditetapkan kepimpinan pusat PKR.
“Sebenarnya ada beberapa Ahli Jawatankuasa AMK Pandan yang berdaftar di sini, tetapi tidak mendiami kawasan ini menyebabkan mereka berdepan kesukaran hadir mesyuarat dan aktiviti AMK Pandan.
“Malah ada dua ahli jawatankuasa yang sudah meletak jawatan sebelum Rafizi mengumumkan keluar parti kerana mereka melanjutkan pengajian di Singapura dan United Kingdom selain ada lagi beberapa peletakan jawatan yang sedang diteliti bersama kepimpinan pusat PKR.
“Justeru, lantikan Ahli Jawatankuasa AMK Pandan baharu akan dibuat selepas keputusan berkenaan bagi memastikan kelancaran AMK Pandan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). – UTUSAN




