Pengurusan penjara perlu lalui reformasi

Pengurusan penjara perlu lalui reformasi

SHAH ALAM: Pengurusan dan sistem penjara di negara ini perlu melalui proses reformasi yang merangkumi aspek pemantauan bebas, kebajikan tahanan, prosedur rawatan perubatan serta pematuhan terhadap hak asasi manusia.

Saranan tersebut susulan insiden rusuhan di Penjara Taiping pada tahun lalu sehingga menyebabkan kematian seorang banduan didakwa dicetuskan oleh pengurusan dan kakitangan penjara sendiri seperti mana dakwaan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, G. Sivamalar berkata, sekiranya benar berlaku penyalahgunaan kuasa dan pengabaian terhadap tahanan, maka tindakan tegas mesti diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Katanya, rakyat mahu melihat ketelusan dan keadilan, bukannya budaya melindungi kesalahan dalam institusi.

“Isu sedemikian tidak boleh dianggap sebagai satu lagi kes salah laku biasa dalam institusi tahanan kerana dakwaan yang dibangkitkan melibatkan unsur kekerasan, penderaan, kecuaian rawatan perubatan serta kemungkinan cubaan melindungi pihak tertentu.

“Perkara itu bukan bertujuan menyerang institusi penjara atau anggota penguat kuasa secara keseluruhan. Majoriti petugas menjalankan tanggungjawab mereka dengan profesional dan penuh integriti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat turut menggesa kerajaan memastikan satu siasatan bebas, telus dan menyeluruh dijalankan terhadap semua aspek insiden tersebut supaya kebenaran dan keadilan dapat diberikan.

“Namun, mempertahankan nama baik institusi juga bermaksud keberanian untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.

“Malaysia mesti berdiri teguh menolak sebarang bentuk penderaan dalam tahanan serta budaya kebal daripada tindakan undang-undang. Keadilan tidak boleh terhenti di pintu penjara,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top