PKR rekod lebih 5,000 ahli baharu dalam sebulan – Fahmi

PKR rekod lebih 5,000 ahli baharu dalam sebulan – Fahmi
PKR rekod lebih 5,000 ahli baharu dalam sebulan – Fahmi

Fahmi

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) merekodkan lebih 5,000 keanggotaan baharu secara organik antara April hingga bulan ini, kata Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata pertambahan itu dicapai tanpa sebarang program besar atau promosi khusus dilaksanakan parti berkenaan.

“Bagi PKR  sendiri, dengan keanggotaan lebih daripada sejuta ahli, kita lihat bagi April hingga Mei sahaja, tanpa apa-apa program besar dan berkembang secara organik tanpa promosi, jumlah keanggotaan baharu PKR adalah lebih 5,000 anggota.

“PKR akan terus menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan selain memainkan peranan dalam memastikan agenda reformasi serta harapan rakyat dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di sini pada Rabu. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah parti baharu menerima kira-kira 18,000 permohonan keanggotaan selepas lima hari dilancarkan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai menyumbangkan sebanyak 72 ekor lembu bersempena dengan program korban tahun ini di seluruh kawasan Parlimen itu.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan berkata daripada jumlah itu, 10 ekor lembu diuruskan di tapak utama program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai hari ini.

Sumbangan itu, katanya, melibatkan pengagihan kepada surau, masjid, persatuan penduduk dan rukun tetangga di sekitar kawasan tersebut.

Fahmi berkata program itu turut disertai wakil parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk Amanah, UMNO dan PKR Lembah Pantai.

“Saya percaya program seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, komuniti serta rakan-rakan dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top