Malaysia kekal pendirian selesai konflik melalui rundingan – PM

Malaysia kekal pendirian selesai konflik melalui rundingan – PM

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat.

Pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menghubungi Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, antara lain menyentuh isu terkait Iran dan Amerika Syarikat (AS).

“Sewaktu panggilan telefon dengan rakan sejawat saya dari Pakistan Shehbaz Sharif, kami berbincang mengenai pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat.

“Saya turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.

“Kami menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan AS, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.

“Lantas saya menyatakan penghargaan Malaysia akan peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam perbualan itu, Anwar turut berbincang dengan Shehbaz mengenai isu kekejaman rejim Zionis di Palestin dan Lubnan.

Pada masa sama, beliau berharap hubungan Malaysia-Pakistan terus dipererat bukan saja demi manfaat bersama tetapi untuk kepentingan sejagat.

“Kami juga berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan.

“Insya-Allah, hubungan Malaysia-Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top