norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Band dari Indonesia, Maliq & D’essentials menyifatkan tiada rezeki mereka untuk menghiburkan peminat pada Konsert Can Machines Fall In Love? Album Tour di Malaysia, dua tahun lalu.
Konsert yang sepatutnya berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 29 Disember 2024 itu berakhir dengan penyataan ditunda kepada tarikh lain sekali gus ‘sepi’ begitu sahaja.
Bertemu dengan dua anggota Maliq & D’essentials iaitu Angga Puradiredja dan Indah Wisnuwardhana baru-baru ini, mereka selesa mengambil positif apa yang sudah berlaku dan enggan menyimpan luka di hati.
Angga berkata, perkara berkaitan konsert itu adalah pengalaman yang sudah berlalu serta biarkan sahaja kerana rezeki ‘show’ untuk Maliq & D’essentials tetap ada dan tidak putus sampai sekarang.
“Bagi saya, kita cuma tidak ada rezeki sahaja untuk konsert itu. Tidak mengapa kerana masih ada rezeki lain buat Maliq & D’essentials datang ke Malaysia seperti menjayakan festival Latihan Pestapora Malaysia pada Ogos depan.
“Kita juga tidak simpan dalam hati apa yang sudah berlaku dan itu sekadar pengalaman. Benda sudah lama dan kita masih terus aktif bermain muzik dan berkarya hingga kini. Hanya ketika itu memang tiada rezekinya.
“Apapun, kita sangat teruja dapat terbabit pada festival Latihan Pestapora Malaysia nanti. Peminat-peminat nantikan kehadiran kita untuk hiburkan anda semua. Semoga lancar dan dipermudahkan,” katanya kepada Harian Metro.
Bagi Indah pula, menariknya persembahan Maliq & D’ Essentials nanti sudah tentu kolaborasi khas mereka bersama penyanyi legenda Indonesia, Rhoma Irama pada festival yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Malaysia itu.
“Selain beraksi solo, Maliq & D’ Essentials sangat berbesar hati apabila kita turut disatukan sepentas untuk kolaborasi khas dengan legenda muzik Indonesia, Rhoma Irama. Sangat teruja dan nantikan persembahannya.
“Harapannya semoga pengunjung yang hadir ke festival Latihan Pestapora Malaysia akan terhibur dan ‘happy’ dengan persembahan kita. Mungkin tiga lagu akan dinyanyikan bersama Rhoma Irama,” katanya ditemui selepas sidang media Latihan Pestapora Malaysia.
Selain Angga dan Indah, Maliq & D’ Essentials yang popular dengan lagu Begini Begitu, Aduh, Senja Teduh Pelita dan Kita Bikin Romantis turut dianggotai Widi Puradiredja, Jawa, Lale, dan Ilman Ibrahim.
Festival Latihan Pestapora Malaysia edisi kedua pada 15 Ogos depan bakal menampilkan kira-kira 15 penghibur dari dua negara, Malaysia dan Indonesia yang menjanjikan pengalaman hiburan berterusan selama 12 jam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




