
Perkongsian Musa di Threads
SHAH ALAM – Seorang doktor sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza berdepan detik cemas apabila menjadi sasaran tentera Israel ketika cuba membantu tahanan yang cedera.
Perkara itu dikongsikan aktivis kemanusiaan, Musa Nuwayri menerusi hantaran di Threads selepas bot misi berkenaan dipintas pihak Israel, baru-baru ini.
Menurutnya, doktor sukarelawan terbabit, Dr Norliyana Farhan Daud cuba membantu seorang tahanan wanita yang ditembak menggunakan peluru getah pada bahagian paha ketika berada di atas kapal tahanan.

Dr Nurliyana
“Saya saksi betapa beraninya Dr Liyana papah salah seorang tahanan yang ditembak di atas penjara kapal menggunakan peluru getah di peha hanya sebab tepuk tangan.
“Dr cuba bawa dia keluar untuk rawat, tapi askar pisahkan dan hanya perempuan tu dibenarkan keluar.
“Dr marah sampai gigil dan tetap pandang pada penembak di atas. Sampai penembak tu halakan muncung senapang ke arah Dr pula. Tapi Dr tenang sahaja,” katanya.
Musa menjelaskan, beliau sendiri berasa cemas melihat tindakan tentera berkenaan yang terus mengacukan senjata ke arah doktor terbabit.
Namun ujarnya, Dr Norliyana tetap berani mempertahankan tindakannya membantu mangsa walaupun berada dalam situasi berbahaya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang memuji keberanian doktor sukarelawan berkenaan kerana sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu mangsa yang cedera.



