PARIS: Pemain No. 1 dunia, Jannik Sinner terus membuktikan statusnya sebagai calon utama juara apabila mara mudah ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2026 selepas membelasah wakil tuan rumah, Clement Tabur semalam.
Bintang Itali berusia 25 tahun itu hanya memerlukan sedikit lebih dua jam untuk mencatat kemenangan 6-1, 6-3, 6-4 sekali gus meneruskan rekod cemerlang 30 kemenangan berturut-turut musim ini.
Ketiadaan juara bertahan, Carlos Alcaraz dalam kejohanan kali ini dilihat membuka laluan lebih luas buat Sinner untuk memburu gelaran sulung Roland Garros sekali gus melengkapkan karier Grand Slam miliknya.
Lebih menakutkan, Sinner hadir ke Paris dengan reputasi luar biasa selepas menjuarai ketiga-tiga kejohanan Masters 1000 gelanggang tanah liat sebelum ini sehingga ramai melihatnya kini sudah benar-benar ‘menakluk’ permukaan merah tersebut.
“Tekanan memang sentiasa ada dan itu perkara normal kerana kalau tiada tekanan bermaksud anda sebenarnya tidak peduli.
“Saya sangat peduli tentang apa yang mahu saya capai dalam gelanggang dan saya tahu tahap permainan saya sekarang,” katanya.
Sinner mempamerkan aksi hampir sempurna apabila menghasilkan 40 pukulan kemenangan dengan hanya melakukan 21 kesilapan mudah sepanjang perlawanan menentang pemain ranking ke-171 dunia itu.
Dalam saingan wanita, pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka turut memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan wakil Sepanyol, Jessica Bouzas Maneiro 6-4, 6-2.
Juara empat Grand Slam itu mengakui keadaan cuaca panas di Roland Garros kali ini sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada corak permainan agresifnya berbanding keadaan sejuk ketika aksi di Rome sebelum ini.
“Sekarang memang sangat panas dan bola bergerak lebih laju tetapi saya rasa fizikal saya berada pada tahap terbaik jadi keadaan ini sebenarnya membantu saya,” katanya.
Turut mara ke pusingan kedua ialah juara bertahan wanita, Coco Gauff, Naomi Osaka dan pilihan kedua lelaki, Alexander Bublik, manakala pilihan keenam dunia, Daniil Medvedev menjadi nama besar pertama tersingkir selepas tewas kepada pemain wildcard Australia, Adam Walton. – AGENSI/UTUSAN




