am@hmetro.com.my
Jerlun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan seekor lembu kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) sempena Hari Raya Aidiladha sebagai tanda penghargaan terhadap peranan pengamal media di negeri ini.
Sumbangan lembu itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan Presiden Keadilan Rakyat, Datuk Romli Ishak yang diterima Ahli Jawatankuasa KMEK, Wan Nabil Nasir sebelum diagihkan kepada tujuh ahli kelab itu di Dataran MADANI Jerlun dalam Program Ibadah Korban MADANI, di sini, semalam.
Romli berkata, sebanyak 25 lembu disumbangkan untuk dikorbankan yang mana seekor daripadanya untuk KMEK dan 24 lagi diagihkan kepada penduduk setempat.
“Lima ekor daripadanya dikorban di sini hari ini manakala 20 lembu lagi akan dikorbankan di Kuala Kedah, esok,” katanya.
Sementara itu, Wan Nabil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan yang diberikan.
“Saya mewakili KMEK merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang sentiasa mengambil berat kebajikan pengamal media khususnya di Kedah.
“Sumbangan itu bukan sahaja membantu memudahkan pelaksanaan ibadah korban, malah turut menyemarakkan semangat kebersamaan dan silaturahim dalam kalangan ahli kelab sempena Aidiladha,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




