Remaja hidap Hidrosefalus pikat hati netizen, mampu berzanji, laungkan azan

Remaja hidap Hidrosefalus pikat hati netizen, mampu berzanji, laungkan azan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Nerang: Biarpun tidak mampu berkomunikasi seperti insan normal, remaja lelaki kurang upaya (OKU) ini menarik perhatian umum kerana mampu berzanji, melaungkan azan dan hebat bermain gitar.

Muhammad Khairul Amrie Muhammad Yusuf, 18, dari Kampung Tok Salam, Naka, di sini lahir dengan keadaan kepala besar akibat hidrosefalus, iaitu keadaan terdapat penumpukan cecair serebrospinal yang berlebihan di dalam rongga otak.

Ibunya, Nor Laili Abdul Wahab, 44, berkata, anak tunggalnya itu disahkan menghidap hidrosefalus sejak lahir dan doktor memaklumkan peluang untuk hidup ketika itu hanya 50-50.

“Amrie sudah menjalani pembedahan ketika umur baharu dua minggu untuk memasukkan saluran khas atau ‘shunt’ bagi mengalirkan lebihan air dari kepala ke bahagian salur kencing.

“Doktor beritahu kalau lambat buat pembedahan, keadaan akan jadi lebih serius sebab kepala dia masa itu terlalu besar dan lembut lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nor Laili berkata, walaupun keadaan fizikal anaknya tidak seperti remaja lain dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri, Amrie mempunyai daya ingatan kuat terutama berkaitan azan, nasyid dan muzik.

Katanya, Amri boleh menghafal dan meniru semula laungan azan serta berzanji hanya dengan mendengar daripada telefon bimbit atau video di internet.

“Dia memang suka dengar azan, nasyid dan berzanji. Lepas dengar berkali-kali, dia akan ikut sendiri walaupun tak ada orang ajar secara khusus.

“Kadang-kadang bapa saudara dia minta dia azan atau berzanji dan dia akan buat ikut mood. Kalau dia suka sesuatu lagu atau alunan muzik, dia cepat tangkap,” katanya.

Video Amrie berzanji dan melaungkan azan dimuatnaik oleh bapa saudaranya tular di TikTok dan mengundang komen netizen yang rata-ratanya kagum serta simpati terhadap Amrie.

Suri rumah itu berkata, Amrie juga berbakat bermain gitar sejak kecil dan mampu mengikut irama lagu hanya dengan mendengar bunyi muzik.

“Dia suka sangat muzik terutama lagu dari kumpulan rock tempatan, Wings. Dulu masa kecil lagi saya belikan gitar sebab nampak dia minat bunyi-bunyian. Kalau dengar lagu, dia boleh ikut main gitar.

“Kami pun terkejut sebab dia boleh ikut rentak lagu dengan baik walaupun tak pernah belajar secara formal,” katanya.

Nor Laili berkata, Amrie pernah mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Naka sehingga berusia sekitar 12 tahun sebelum dijaga sepenuh masa di rumah.

Katanya, anak tunggalnya itu juga adalah pemegang kad OKU dan memerlukan pemantauan berterusan kerana tidak mampu berjalan seperti biasa selain perlu dibantu untuk urusan harian.

“Dia boleh berdiri tetapi lebih selesa bergerak secara mengesot dalam rumah.

“Kakinya seperti kurang upaya, boleh berjalan tetapi mengambil masa.

“Walaupun keadaan dia macam ini, saya dan suami, Muhammad Yusuf Ahmad, 44, tetap bersyukur kerana Amrie cepat belajar dan ada kelebihan tersendiri. Kami sekeluarga hanya mahu dia gembira dan terus diberi kesihatan yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top