sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan tindakan enggan meneruskan perlawanan akibat tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil jelas melanggar prinsip serta peraturan sukan itu.
Timbalan Presiden PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, sebarang kesalahan tidak wajar dialihkan daripada isu sebenar kerana undang-undang permainan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa pengecualian.
Katanya, tindakan memasuki kawasan pemain atau ‘field of play’ tanpa kebenaran rasmi juga adalah satu pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan pertandingan yang sudah ditetapkan.
“Tidak kira sama ada individu itu Presiden, Setiausaha Agung atau mana-mana pegawai sekali pun, peraturan tetap sama untuk semua, Ini bukan kejohanan peringkat kampung atau sekolah, tetapi Piala Dunia yang membawa imej dan maruah sukan sepak takraw di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagi Abdul Halim, beliau menegaskan bahawa sebarang cubaan mempengaruhi pemain supaya tidak meneruskan perlawanan adalah kesalahan lebih serius kerana ia mencemarkan semangat kesukanan, disiplin dan profesionalisme dalam sukan itu.
Katanya, tindakan disiplin sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kredibiliti serta integriti sepak takraw antarabangsa terus terpelihara.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa keputusan pengadil adalah muktamad seperti diamalkan dalam mana-mana sukan profesional.
“Kita mungkin tidak bersetuju dengan keputusan pengadil, tetapi ia tetap perlu dihormati mengikut undang-undang permainan,” katanya.
Tambah beliau, sepak takraw hanya mampu terus berkembang di peringkat global sekiranya semua pihak mengamalkan disiplin, profesionalisme dan menghormati peraturan yang ditetapkan.
Untuk makluman, kontroversi itu terjadi apabila pasukan Thailand memilih untuk tidak meneruskan perlawanan dalam aksi regu ketiga ketika final Piala Dunia Sepak Takraw acara regu berpasukan sekali gus memberi kemenangan buat Malaysia 1-2.
Susulan tindakan itu, PSM sudah mula menghantar surat aduan rasmi kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) mengenai tindakan yang mereka lakukan itu dan satu tindakan tegas wajar dikenakan kerana ia mencemarkan nama kejohanan terutama Malaysia selaku tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




