
Mohd Amar
KOTA BHARU – Keputusan berkaitan hubungan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diputuskan selepas diperhalusi oleh Majlis Syura Ulama parti itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini parti itu masih menunggu laporan lengkap daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum sebarang ketetapan dibuat.
“Buat masa ini, kami sedang menunggu laporan daripada pemimpin gabungan.
“Sebaik sahaja laporan itu selesai, ia akan dibentangkan kepada Majlis Syura dan kami perlu menunggu laporan itu dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sempena Majlis Ibadah Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji di sini pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, Majlis Syura akan meneliti laporan berkenaan secara terperinci sebelum membuat keputusan berkaitan hubungan Pas dan Bersatu serta hala tuju kerjasama dalam PN.
“Keputusan hanya akan dibuat selepas laporan itu diperhalusi oleh Majlis Syura,” tambah beliau.
Sebelum ini hubungan Pas dan Bersatu kembali diperkatakan susulan laporan bahawa Pas mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu melibatkan gabungan PN.
Pada 24 Mei lalu, mesyuarat tergempar diadakan di Kuala Terengganu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan PN termasuk masa depan hubungan dengan Bersatu.
Mesyuarat itu difahamkan turut melibatkan kepimpinan tertinggi parti termasuk Biro Politik dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas.
Ketegangan antara Pas dan Bersatu kembali dipercayai selepas Abdul Hadi menyatakan Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak selari dengan semangat setia kawan dalam PN.



