Sekolah percuma ubah masa depan komuniti Islam pedalaman Kemboja

Sekolah percuma ubah masa depan komuniti Islam pedalaman Kemboja

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kampot (Kemboja): Bermula di atas tanah kosong dan serba kekurangan, sebuah sekolah agama percuma di pedalaman Kemboja kini menjadi harapan komuniti Islam setempat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Maahad Imam Syafi’e (MIS) Kampung Keh, di sini, bukan sahaja menjadi pusat pendidikan agama, malah berjaya melahirkan golongan profesional dan tenaga mahir.

Naib Presiden Eksekutif Syariah Kumpulan Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak berkata, sekolah berkenaan dibangunkan secara berperingkat hasil sumbangan individu dan institusi khususnya di Malaysia, selain bantuan pihak lain yang prihatin terhadap pembangunan pendidikan Islam di kawasan itu.

“MIS mula beroperasi pada 2011 dengan hanya tiga kelas dan kira-kira 90 pelajar sebelum berkembang kepada bangunan tiga tingkat serta menempatkan lebih 260 pelajar berumur 13 hingga 18 tahun pada masa ini.

“Kini, sekolah itu mempunyai seramai 25 guru agama yang mengajar secara tetap.

“Manakala 22 guru akademik pula dari Kementerian Pendidikan Kemboja mengajar secara sambilan dan dibayar mengikut jam kredit,” katanya ketika ditemui di MIS, Kampung Keh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majoriti pelajar di sekolah itu berasal daripada keluarga nelayan dan petani di kawasan pedalaman yang hidup dalam serba kekurangan.

“Ada ibu bapa yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan harian atau pendapatan kecil daripada bercucuk tanam untuk menyara keluarga, menyebabkan peluang pendidikan anak-anak sangat terbatas,” katanya.

Katanya, semua keperluan pelajar di sekolah itu ditanggung sepenuhnya secara percuma termasuk kemudahan asrama serta makan dan minum.

“Walaupun serba kekurangan pada peringkat awal termasuk kemudahan asas yang terhad, sekolah itu terus dibangunkan sedikit demi sedikit sehingga mampu menyediakan sistem pendidikan lebih lengkap.

“Sekolah berkenaan menggabungkan pendidikan akademik dan agama menerusi sistem integrasi yang merangkumi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Arab serta Bahasa Inggeris,” katanya.

Menurutnya, pendekatan itu memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke institusi pendidikan di Indonesia, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.

Katanya, antara matlamat utama sekolah itu adalah untuk melahirkan generasi berilmu yang bukan sahaja mempunyai kefahaman agama, malah mampu menjadi golongan profesional serta mengubah nasib keluarga mereka.

Selain itu, Mohd Zamerey berkata, ada bekas pelajar sekolah itu kini bekerja sebagai guru, kakitangan universiti tempatan dan bidang teknologi maklumat.

“Ada juga pelajar ditaja untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya.

Tambah beliau, setiap pelajar yang ingin memasuki sekolah tersebut perlu melalui ujian bertulis dan sesi temu duga bagi memastikan tahap kelayakan mereka.

“Kos operasi sekolah kini mencecah kira-kira AS$8,000 sebulan berbanding sekitar AS$D 2,000 ketika awal penubuhan, namun pihak pengurusan tetap komited menjaga kebajikan serta kualiti pendidikan pelajar.

“Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bank Rakyat dan institusi korporat turut membantu pembangunan sekolah termasuk pembinaan bangunan tambahan bagi menampung pertambahan pelajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top