Southern Score catat prestasi 9 bulan, suku tahunan tertinggi

Southern Score catat prestasi 9 bulan, suku tahunan tertinggi

PAKAR kejuruteraan bersepadu perkhidmatan pengurusan pembinaan, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta perkhidmatan perundingan kejuruteraan khusus, Southern Score Builders Berhad (SSBB) mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga (3QFY26) dan sembilan bulan bagi tempoh berakhir 31 Mac 2026 (9MFY26).

Bagi tempoh kumulatif tersebut, hasil SSBB melonjak 124.2 peratus kepada paras tertinggi sepanjang zaman sebanyak RM314.0 juta berbanding RM140.0 juta dalam tempoh sama tahun lalu (9MFY25).

Pertumbuhan didorong sumbangan lebih kukuh daripada segmen perkhidmatan pembinaan dan M&E Kumpulan. Selain itu, prestasi hasil turut diperkukuhkan sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan perundingan susulan pengambilalihan terkini Nova Pharma Solutions Berhad (NPS).

Sementara itu, keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat (keuntungan bersih) bagi 9MFY26 meningkat 57.9 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada paras rekod RM45.1 juta, berbanding RM28.6 juta tahun lalu.

Peningkatan dua digit itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor-faktor yang disebutkan di atas. Menariknya, ini merupakan kali pertama hasil kumulatif sembilan bulan dan keuntungan bersih Kumpulan masing-masing melepasi paras RM300 juta dan RM45 juta.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SSBB, Gan Yee Hin berkata, pihaknya amat gembira kerana dapat mengekalkan momentum positif dengan prestasi sembilan bulan dan suku tahunan terbaik dalam sejarahnya.

Tambahnya, keuntungan bersih 9MFY26 Kumpulan telah melepasi rekod keuntungan bersih penuh tahun lalu sebanyak RM40.2 juta. Prestasi ini mencerminkan kemajuan stabil projek pembinaan yang sedang berjalan serta sumbangan lebih kukuh daripada segmen M&E.

“Selain itu, pelaburan Kumpulan dalam NPS telah mula membuahkan hasil dan menyumbang secara positif kepada segmen perkhidmatan perundingan dalam 3QFY26. Perlu juga dinyatakan ini merupakan suku keenam berturut-turut pertumbuhan hasil syarikat.

“Kumpulan juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa kami telah memanfaatkan sinergi kukuh antara perkhidmatan pembinaan dan M&E kami dengan kepakaran perundingan NPS. Ini telah membuka lebih banyak peluang kepada kami yang sedang giat diterokai oleh pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, SSBB terus menyalurkan sumber kepada segmen perkhidmatan M&E dan perundingan, disokong oleh peluang luas hasil perkembangan industri yang menggalakkan, khususnya dalam sektor pusat data, farmaseutikal dan bioteknologi.

Sementara itu, industri pembinaan tempatan terus mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku pertama 2026 dengan mencatatkan pengembangan 8.5 peratus YoY kepada RM46.5 bilion, seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Namun, sektor itu terus berdepan tekanan kos susulan kenaikan harga bahan api di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat, yang telah menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan di Malaysia.

“Selain itu, kenaikan harga bahan api juga menyebabkan harga bahan binaan utama termasuk simen dan keluli meningkat berikutan kos pengeluaran dan pengangkutan yang lebih tinggi.

“Harga diesel yang lebih tinggi juga telah meningkatkan kos operasi pengangkutan, peralatan berat dan jentera berkuasa bahan api, sekali gus menjejaskan margin keuntungan kontraktor,” katanya.

Ujarnya lagi, dalam jangka masa terdekat, sektor pembinaan dijangka terus mencabar berikutan kos operasi yang tinggi dan tidak menentu.

Walau bagaimanapun, industri dijangka beransur stabil sekiranya harga bahan api menjadi sederhana dan keadaan kos bertambah baik.

“Secara keseluruhannya, prospek Kumpulan terus menarik disokong oleh buku pesanan dan saluran tender kami yang sihat, di samping inisiatif pengurusan kos yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi suku semasa, hasil SSBB melonjak 2.2 kali ganda untuk merekodkan RM133.7 juta, sekali gus melepasi ambang RM100 juta buat kali pertama.

Seiring dengan itu, keuntungan bersih 3QFY26 mencapai paras tertinggi sepanjang zaman sebanyak RM19.7 juta berbanding RM10.0 juta pada tahun sebelumnya.

Keputusan suku tahunan yang mencatat rekod itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh faktor-faktor yang disebutkan sebelum ini.

Sehingga 31 Mac 2026, jumlah buku pesanan tertunggak Kumpulan berjumlah RM1.5 bilion, terdiri daripada RM1.1 bilion daripada SSBB dan RM387.8 juta daripada SJEE, memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas bagi tahun-tahun akan datang.

Scroll to Top