Ryt Bank lancar Ryt Invest, melabur serendah RM1

Ryt Bank lancar Ryt Invest, melabur serendah RM1

PETALING JAYA: Ryt Bank melancarkan ‘Ryt Invest’, sebuah ciri pelaburan baharu terus melalui aplikasinya yang membolehkan rakyat Malaysia mengurus simpanan dan melabur dalam produk patuh syariah serendah RM1 serta menikmati kadar caj jualan sifar peratus.

Pelaburan baharu dengan kerjasama strategik bersama Opus Asset Management Sdn. Bhd. (OpusAM) ini, sekali gus mencipta mencipta pencapai baharu dalam landskap perbankan digital negara. 

Ketua Pegawai Ekonomi Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, pengenalan Ryt Invest bertujuan untuk membuka akses pelaburan yang dipercayai oleh institusi besar kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Bagi ramai rakyat Malaysia, pelaburan sering dianggap rumit, mahal atau terpisah daripada urusan perbankan harian.

“Dengan Ryt Invest, kami membuka akses kepada kepakaran pelaburan menerusi aplikasi selamat yang sama digunakan pelanggan untuk menyimpan, berbelanja dan membuat pembayaran,” katanya dalam kenyataan.

Ryt Invest SavePlus ditawarkan sebagai bank digital pertama di Malaysia yang menyediakan dana kendalian pakar daripada OpusAM yang disokong oleh pasukan pelaburan berpengalaman melebihi 25 tahun dan menguruskan aset bernilai lebih RM10 bilion.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pilihan pelaburan yang diuruskan secara profesional ini disusun bagi memenuhi pelbagai matlamat kewangan, tahap toleransi risiko serta keutamaan pasaran pelanggan.

“Ryt Invest SavePlus direka untuk pelanggan yang mencari pendekatan pelaburan yang lebih stabil dan berisiko rendah bagi mengembangkan simpanan mereka melalui strategi pelaburan patuh Syariah, dengan sıfar peratus caj jualan.

“Ryt Invest Income pula memberi tumpuan kepada penjanaan pulangan jangka panjang yang konsisten melalui pelaburan pelbagai aset yang diuruskan secara profesional.

“Sementara Ryt Invest Gold menawarkan pendedahan kepada pelaburan bertemakan emas merentasi pelbagai aset, sekali gus memberikan pelanggan pilihan tambahan untuk mempelbagaikan portfolio mereka dalam keadaan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya.

Tambah beliau, pengenalan ciri baharu ini mencerminkan aspirasi lebih luas Ryt Bank untuk membina masa depan perbankan digital yang lebih bersepadu.

“Langkah ini menggabungkan simpanan, perbelanjaan, pembayaran, kredit dan pelaburan dalam satu pengalaman perbankan digital yang lebih lancar dan bersepadu untuk semua pengguna,” katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan awal, Ryt Bank menawarkan ganjaran bonus tambahan terjamin sebanyak 1.0 peratus setahun berdasarkan jumlah nilai pelaburan pelanggan, tanpa had maksimum, untuk tempoh terhad.

Kempen promosi ini berlangsung dari 28 Mei 2026 hingga tarikh pendaftaran ditutup pada 31 Ogos 2026, yang mana ganjaran bonus dikira setiap hari pada pukul 12 tengah malam dan dikreditkan setiap minggu ke akaun Ryt Pocket pelanggan bagi tempoh 90 hari. – UTUSAN

Scroll to Top