Warga kerja Media Prima Berhad gotong-royong laksana ibadah korban

Warga kerja Media Prima Berhad gotong-royong laksana ibadah korban

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Warga kerja Media Prima Berhad (MPB) bergotong-royong melaksanakan Program Ibadah Korban 2026 di Balai Berita, Jalan Riong, di sini, hari ini.

Program tahunan anjuran Surau MPB itu bermula pada jam 12 tengah hari dan berakhir kira-kira jam 5 petang dengan seramai 100 kakitangan serta sukarelawan mengambil bahagian.

Peserta yang hadir diberi tanggungjawab melapah daging korban yang sudah disembelih terlebih dahulu, sebelum dibungkus bagi agihan.

Pengurus Program Korban, Mohd Sattar Mat Yusoff berkata, sambutan daripada kakitangan semakin baik setiap tahun dengan seramai 70 individu menyumbang dalam bahagian lembu dan lima lagi bagi kambing.

“Sebanyak 10 ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan dalam ibadah korban tahun ini bagi memenuhi tuntutan agama serta membantu golongan yang memerlukan.

“Daripada jumlah lima ekor kambing berkenaan, empat daripadanya adalah untuk korban manakala seekor lagi kambing aqiqah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Pada masa sama, Mohd Sattar berkata, pengagihan daging korban dilakukan mengikut garis panduan Islam iaitu masing-masing satu pertiga untuk penyumbang, asnaf dan masyarakat umum.

Tahun ini, sebanyak sembilan pusat asnaf dan rumah kebajikan sekitar Lembah Klang menerima agihan iaitu Pusat Jagaan Kasih Murni, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, Rumah Penyayang Darul Ilmi dan Pertubuhan Baitul Ehsan Al Khairi.

Selain itu, Pertubuhan Asnaf Al Barakh Malaysia, Rumah Bakti Nur Syaheera, Rumah Anak Yatim dan Miskin Jalinan Kasih, Rumah Penyayang Nur Iman, dan Rumah Kebajikan KRT Seksyen 24.

Sukarelawan yang juga Pengurus Kanan Strategi dan Kecemerlangan Organisasi Sumber Manusia MPB, Dona Siti Zawina Don Najib berkata, program itu amat bermakna bagi ramai kakitangan.

“Tahun ini kita buat berskala kecil sedikit kerana mahu memastikan kualiti daging korban itu terjaga.

“Selain itu, sambutan Aidiladha kali ini bersempena musim cuti panjang, jadi kami mahu memastikan petugas tidak terlalu kepenatan namun masih berpeluang meraikan Aidiladha bersama warga Media Prima,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top