New York: Menteri Luar China Wang Yi bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa sempena mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai usaha menegakkan tujuan dan prinsip Piagam PBB serta memperkukuh sistem antarabangsa berteraskan badan dunia itu.
Dalam pertemuan itu, Wang berkata sebagai penyokong teguh perjuangan PBB, China bersedia terus menjunjung multilateralisme dan mengambil langkah konkrit untuk memperkasa semula PBB.
Beliau berkata China komited meningkatkan kerjasama dengan PBB dalam memajukan kerjasama Selatan-Selatan serta memacu reformasi sistem ekonomi dan kewangan antarabangsa, selain menangani isu perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai isu serantau.
Wang turut mengundang Guterres untuk melawat China pada tahun ini.
Sementara itu, Guterres berkata China merupakan antara rakan kongsi paling dipercayai dalam pembangunan mampan serta peserta penting dalam misi pengaman PBB.
Beliau turut memuji pelbagai inisiatif global yang diketengahkan China dalam bidang keselamatan, keamanan, pembangunan dan lain-lain.
Guterres turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk memperkukuh kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang, di samping bersinergi mendorong perkembangan seimbang tiga tonggak utama badan dunia itu iaitu keamanan dan keselamatan, pembangunan serta hak asasi manusia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




