Misi terakhir Salah bersama Mesir

Misi terakhir Salah bersama Mesir

Kaherah: Mohamed Salah masih menyimpan misi yang belum selesai menjelang apa yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya di Piala Dunia FIFA apabila bintang Mesir itu memburu kemenangan pertama negaranya di pentas terbesar bola sepak dunia.

Mesir yang muncul kuasa besar bola sepak Afrika dengan rekod tujuh gelaran Piala Negara-Negara Afrika bagaimanapun gagal memberi impak besar di pentas global dalam tiga penampilan sebelum ini.

Salah sepatutnya tiba di Piala Dunia 2018 pada prestasi terbaik kariernya.

Selepas meledak 44 gol pada musim pertama bersama Liverpool yang melonjakkan namanya daripada bakat muda kepada bintang dunia, Salah mengalami kecederaan serius di bahu selepas dikasari pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos pada final Liga Juara-Juara (UCL).

Salah yang masih belum pulih sepenuhnya tetap beraksi di Russia dan menjaringkan dua gol dalam dua penampilan, namun gagal menghalang Mesir daripada tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas kepada tuan rumah, Uruguay dan Arab Saudi.

Kini pada usia 33 tahun, Salah hadir ke Piala Dunia di penghujung karier gemilangnya bersama Liverpool.

Salah beberapa kali dilihat mengalirkan air mata ketika mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield, Ahad lalu selepas sembilan tahun bersama kelab itu dengan rekod 257 gol, dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) serta kejuaraan UCL.

“Kami mengembalikan kelab ini ke tempat sepatutnya,” katanya dalam ucapan perpisahan di Merseyside.

Aksi cemerlangnya dalam EPL turut menjadikan pengaruh Salah melangkaui padang bola sepak.

Salah turut disenaraikan dalam 100 individu paling berpengaruh dunia oleh Time pada 2019 dan digelar ikon buat rakyat Mesir, warga Liverpool serta umat Islam di seluruh dunia.

Dia juga menggunakan pengaruh itu untuk memperjuangkan kesaksamaan gender di dunia Arab selain menyeru bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza susulan serangan udara Israel pada Oktober 2023.

Kini, rakyat Mesir mengharapkan Salah mampu menghadiahkan detik gemilang di pentas antarabangsa yang masih belum berjaya dicapainya sepanjang karier.

Dua kali Salah kecewa di final Piala Negara-Negara Afrika iaitu pada 2017 dan 2021.

“Bagi saya, Salah adalah pemain terbaik dunia.

“Kehadirannya sangat penting buat kami, bukan sahaja sebagai bintang tetapi juga pemimpin yang memberi keyakinan dan kekuatan,” kata penyerang Mesir, Mahmoud Hassan atau lebih dikenali sebagai Trezeguet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top