am@hmetro.com.my
Kuala Berang: “Doakan perkahwinan ini berkekalan hingga ke syurga,” kata pendakwah muda, Ustaz Muhammad Abdullah, 33, ketika ditemui pada majlis sambut menantu yang dihadiri hampir 10,000 tetamu di Madrasah Darul Zahraa, Kampung Dura di Hulu Terengganu, hari ini.
Muhammad yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK) berkata, dia dan pasangan berharap rumah tangga yang dibina sentiasa diberkati Allah SWT selain dikurniakan ketenangan serta kebahagiaan dalam melayari alam perkahwinan.
“Kami harap semua dapat mendoakan supaya rumah tangga yang dibina ini sentiasa diberkati Allah SWT dan dikurniakan ketenangan serta kebahagiaan hingga ke syurga,” katanya.
Majlis sambut menantu UMK bersama pasangannya, Nor Suhada Mohd Azam, 26, bermula jam 10.30 pagi itu diadakan di madrasah yang dibangunkan UMK dan berlangsung sehingga jam 3 petang, namun orang ramai masih tidak putus-putus hadir sehingga jam 4 petang bagi meraikan pasangan pengantin.
UMK berkata, pihaknya menjemput semua individu yang pernah menyumbang serta membantu pembangunan madrasah itu sejak awal penubuhannya dengan edaran kira-kira 1,000 kad jemputan selain hebahan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kalau ada yang tidak sempat dihubungi seorang demi seorang, kita uar-uarkan melalui WhatsApp dan alhamdulillah sambutan sangat luar biasa.
“Setiap rumah tangga pasti ada ujian dan cabarannya. Kami berharap dapat melalui semua itu dengan penuh kesabaran, hikmah dan bijaksana,” katanya.
Majlis berkenaan menyediakan pelbagai juadah tradisional termasuk menu istimewa ikan patin tempoyak ubi kayu sebanyak lima kawah membabitkan kira-kira 200 kilogram ikan patin.
Selain itu, 15 kawah nasi putih disediakan selain dua kerbau dan empat lembu ditumbangkan bagi menyediakan hidangan kepada tetamu.
Antara tokoh agama yang hadir memeriahkan majlis ialah pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, pengasas Maahad Nurul Hidayah Littaki Wat Tazkiyah Guar Chempedak Kedah Syeikh Aminuddin Abdul Rahim serta Penasihat merangkap Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan Syeikh Wazir Awang.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan UMK selamat diijabkabulkan dengan Nor Suhada dalam majlis sederhana yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Bukit Payung, Marang.
Pasangan itu dinikahkan kira-kira jam 10 pagi dalam majlis yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.
Difahamkan, Nor Suhada adalah pelajar Madrasah Darul Ansor, Wakaf Tapai dan perkenalan pasangan itu diatur guru mereka selain mendapat restu kedua-dua keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd



