Tiada mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan esok

Tiada mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan esok

SEREMBAN: Mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan seperti yang diminta oleh enam pembesar adat di negeri ini tidak akan dijalankan esok.

Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, pihaknya tidak dapat membuat jemputan untuk mengadakan mesyuarat tersebut ekoran saman pemula dikemukakan oleh para pembesar berkenaan yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban.

“Pihak yang mengemukakan saman pemula itu tidak boleh memanggil atau mengadakan mesyuarat DKU dengan sendirinya. Oleh itu, pemanggilan Mesyuarat Khas DKU pada 29 Mei 2026 seperti yang dinyatakan dalam surat para pembesar adat bukanlah pemanggilan mesyuarat DKU yang sah.

“Oleh yang demikian, tiada Mesyuarat Khas yang akan diadakan pada 29 Mei 2026,” katanya dalam surat yang ditujukan kepada enam para pembesar adat tersebut yang dilihat oleh Utusan Malaysia.

Pada 24 Mei lalu, enam pembesar adat tersebut telah mengemukakan notis kepada Raja Norazli mengarahkan supaya jemputan dibuat ke Sidang Khas dewan berkenaan yang dirancang esok.

Menurut notis itu, majoriti ahli DKU telah bersetuju supaya sidang khas itu diadakan di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin di Tampin mulai pukul 9 pagi pada hari berkenaan.

Notis itu telah ditandatangani oleh Undang Luak Sungai Ujong yang didakwa sudah dipecat, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.

Turut menandatangani notis itu ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Raja Norazli berkata, pihaknya menganggap tindakan yang dinyatakan dalam notis para pembesar tersebut sebagai tidak wajar dan menggugat integriti prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

“Saya dan DKU merizabkan hak kami untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya berkenaan apa-apa langkah yang diambil secara sebelah pihak oleh para pembesar tersebut yang akan memprejudiskan atau mengganggu prosiding mahkamah,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 13 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Seremban telah mula mendengar saman pemula para pembesar berkenaan yang antara lain menuntut DKU, Raja Norazli dan kerajaan negeri menyerahkan kepada mereka minit mesyuarat Sidang Khas DKU pada 17 April lalu. – UTUSAN

Scroll to Top