Pertahanan New Zealand, Tim Payne tiba-tiba viral menjelang Piala Dunia

Pertahanan New Zealand, Tim Payne tiba-tiba viral menjelang Piala Dunia

Sydney: Pertahanan New Zealand, Tim Payne tiba-tiba menjadi sensasi media sosial selepas seorang pempengaruh Argentina mendakwa dia adalah pemain paling kurang dikenali di Piala Dunia FIFA.

Valen Scarsini yang dikenali sebagai “elscarso” di Instagram dan TikTok memuat naik video mengajak pengikutnya memberikan tanda suka, komen serta mengikuti akaun pemain Wellington Phoenix dan skuad All Whites itu.

Dalam tempoh hanya beberapa hari, akaun Instagram Payne meningkat daripada 4,715 pengikut kepada 660,000 pengikut sekali gus mengatasi jumlah pengikut Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, bintang ragbi All Blacks, Ardie Savea dan Scarsini sendiri.

“Saya tertanya-tanya kenapa media sosial saya tiba-tiba meletup sebelum jumpa hantaran anda.

“Terima kasih atas sokongan ini! Gracias, hermano,” kata Payne kepada Scarsini.

Payne pernah mencuri perhatian media pada 2020 ketika pandemik Covid-19 apabila melanggar kuarantin di Australia dan didakwa memandu dalam keadaan mabuk selepas membawa kereta golf bersiar-siar bersama rakan sepasukan.

Menurut laporan media, dia kemudian didenda A$700 (RM2,100) oleh mahkamah di Sydney.

Pemain serba boleh berusia 32 tahun itu kekal dengan profil rendah selepas insiden berkenaan dan kini memburu penampilan bersama New Zealand selepas disenaraikan dalam skuad kendalian Darren Bazeley ke Piala Dunia.

New Zealand yang berada di ranking tercorot kejohanan akan membuka kempen menentang Iran di Los Angeles pada 15 Jun sebelum turut berdepan Mesir dan Belgium dalam Kumpulan G.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top