Keluarga yakin Jaslinda kuat, mampu 'survive' – Anak tiri

Keluarga yakin Jaslinda kuat, mampu 'survive' – Anak tiri

am@hmetro.com.my

Tapah: Keluarga Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu yakin wanita itu masih mampu bertahan hidup dan ditemui selamat.

Anak tirinya, Nurr Asyikin Haszman, 29, berkata, ini kerana Jaslinda, 49, seorang pendaki berpengalaman, aktif dalam aktiviti lasak termasuk menyelam di dasar laut.

“Bukan setakat mendaki, dia juga gemar ‘diving’ (selaman), menunjukkan dia memang orang yang sukakan alam semula jadi dan saya percaya dia seorang perempuan yang kuat dan masih ada (hidup) lagi.

“Untuk ‘survive’ (bertahan hidup), saya percaya dia mampu di dalam dalam hutan itu. Namun risau juga dengan kemungkinan lain seperti ancaman binatang buas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurr Asyikin berkata, bapanya, Haszman Othman, 61, masih setia menunggu di pusat kawalan bomba (PKB) bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) ibu tirinya di Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, di sini sejak hari pertama operasi dilakukan.

Menurutnya, keluarga besar mereka turut berada di samping Haszman semalam untuk meraikan Aidiladha di lokasi sementara mengikuti perkembangan SAR.

“Semalam saya hadir ke PKB dan sambutan Aidiladha tak rasa macam suasana raya pun, cuma adalah beberapa pihak menghantar juadah raya seperti rendang, ketupat dan sebagainya termasuk untuk pasukan SAR.

“Cuma, saya lihat ayah saya dengan adik-beradik tiri saya memang tak lalu nak makan, juga adik-beradik ibu pun berada di PKB semalam.

“Ketika itu ayah katakan pada saya, dia sudah reda dan ‘okey’ sedikit berbanding dua hari pertama SAR,” katanya yang turut membawa pakaian dan barang keperluan ayahnya sepanjang menunggu di PKB.

Selain itu, Nurr Asyikin berkata, mereka enggan menunding jari kepada mana-mana pihak termasuk netizen yang komen di media sosial susulan kehilangan Jaslinda, sebaliknya menganggap ia suratan takdir.

“Cuma ayah saya terkilan kalau ada orang cakap (dan) menggesa supaya duduk rumah bila usia sudah tua dan bukannya mendaki.

“Pada saya kematian boleh berlaku walau di mana jua. Selagi perkara begini tak jadi pada keluarga kita, maka lebih baik kita diam.

“Dalam situasi begitu mungkin orang sudah yakin dengan kemampuan ibu tiri saya yang diketahui berpengalaman 10 tahun dalam pendakian, memandangkan dia wanita kuat dan lasak. Namun tanpa disangka perkara begini boleh terjadi,” katanya.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Dia dilapor hilang selepas kali terakhir dilihat MGP di puncak gunung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top