Selangor pasti lebih kuat musim depan – Pan Gon

Selangor pasti lebih kuat musim depan – Pan Gon
Selangor pasti lebih kuat musim depan – Pan Gon

Kim Pan Gon – Foto fail Bernama

PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan Gon berkata, pasukannya akan kembali lebih kuat musim depan selepas tewas kepada Buriram United FC dalam aksi final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026 malam tadi.

Skuad Red Giants yang hadir tanpa bekalan gol selepas perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya minggu lepas, terpaksa akur tewas 3-1 secara agregat kepada tuan rumah selepas kalah 2-1 pada aksi timbal balik di Stadium Buriram malam tadi.

“Kami telah menilai semula karakter dan DNA pasukan dan saya sangat menantikan musim depan.

“Kami akan kembali lebih kuat. Kami akan bangkit dan kembali ke kedudukan kami,” katanya yang mengakui sedikit kecewa apabila Selangor tidak berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua.

Beliau berkata demikian menerusi laman rasmi ACC.

Selangor FC menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga di belakang juara Johor Darul Ta’zim (JDY) dan naib juara Kuching City.

Jurulatih dari Korea Selatan itu mengambil alih Selangor pada pertengahan musim Januari lepas, menyifatkan kempen ACC sebagai platform positif buat pasukan itu membina semula identiti permainan meskipun gagal muncul juara.

“Saya datang pada pertengahan musim dan apabila kami beraksi dalam Shopee Cup (ACC), kami sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang. Kami cuba membentuk karakter pasukan dalam kejohanan ini menerusi corak permainan dinamik.

“Pada final kami berdepan lawan yang sangat sukar, namun kami tetap cuba mengekalkan identiti permainan kami,” katanya.

Pada aksi malam tadi, Selangor kembali menyemarakkan harapan apabila Muhamad Syahir Bashah meledak gol pada minit ke-18 sebelum Buriram United FC bangkit menerusi jaringan Suphanat Mueanta pada minit ke-27 dan Theerathon Bunmathan pada minit ke-55 untuk mempertahankan kejuaraan serantau itu.

Pan Gon mengakui faktor gugup dalam kalangan pemain ketika aksi pertama memainkan peranan besar terhadap kekalahan agregat Red Giants.

“Dalam perlawanan di tempat sendiri, saya rasa pemain tidak biasa bermain di pentas final kerana sudah lama tidak beraksi di final dan mereka agak gementar.

“Kami menggalakkan pemain untuk menampilkan karakter permainan mereka kerana mereka mewakili penyokong kami. Ia berhasil dan walaupun bermain di tempat lawan, kami tetap yakin. Saya sangat bangga kerana kami berjaya mengekalkan identiti permainan menentang pasukan yang begitu kuat,” katanya. – Bernama

 

 

 

 

 

 

 

TAG:

 

 

 

Scroll to Top