HSA sangkal dakwaan pesakit 'disidai' pegawai perubatan HSA

HSA sangkal dakwaan pesakit 'disidai' pegawai perubatan HSA

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan ahli keluarga pesakit merakam video ketiadaan doktor ketika pegawai perubatan yang bertugas sedang mengendalikan beberapa kes klinikal lain yang memerlukan perhatian segera.

Jurucakapnya berkata, berdasarkan siasatan awal, pengadu hadir bersama pesakit terbabit ke Zon Hijau, Jabatan Kecemasan & Trauma (JKT) pada 5.45 pagi dengan aduan pendarahan semasa kehamilan.

Katanya, pesakit menerima penilaian serta rawatan awal di kaunter triage oleh petugas kesihatan bertugas, sebelum diarahkan ke zon rawatan untuk pemerhatian lanjut.

Menurutnya juga semakan lanjut mendapati pada waktu terbabit terdapat tiga pegawai perubatan bertugas di Zon Hijau, namun ketika kejadian pegawai perubatan berkenaan sedang mengendalikan beberapa kes klinikal lain yang memerlukan perhatian segera.

“Skop tugasan pegawai perubatan di Zon Hijau merangkumi pemeriksaan pesakit di Zon Hijau, Asthma Bay, Bilik Pemantauan, Zon Kuning 2 serta mengetuai pasukan Rapid Transport Team (RTT) bagi kes Zon Merah mengikut keperluan.

“Sungguhpun begitu, rawatan kepada pesakit diteruskan mengikut tahap keutamaan klinikal dan pesakit diperiksa semula oleh pegawai perubatan sekitar jam 8 pagi.

“Pesakit kemudiannya disahkan stabil selepas penilaian serta rawatan yang bersesuaian diberikan dan dibenarkan pulang bersama nasihat perubatan kira-kira jam 9 pagi,” katanya menerusi siaran media hari ini.

HSA memahami bahawa situasi di JKT boleh menimbulkan kebimbangan kepada pesakit dan waris, khususnya ketika waktu sesak dan membabitkan emosi tinggi.

“Justeru, aspek komunikasi dan penambahbaikan pengalaman pelanggan akan terus diberi perhatian oleh pihak hospital daripada semasa ke semasa.

“Pihak hospital turut ingin menegaskan bahawa semua pesakit yang hadir ke Jabatan Kecemasan akan diberi penilaian dan rawatan berdasarkan tahap kecemasan klinikal bagi memastikan pesakit yang memerlukan rawatan segera diberi keutamaan sewajarnya.

“Pada masa yang sama, orang awam diingatkan agar tidak merakam atau menyiarkan kandungan melibatkan pesakit, petugas kesihatan dan kawasan rawatan tanpa kebenaran kerana boleh menjejaskan privasi serta melanggar etika dan peraturan,” katanya.

HSA meminta sebarang maklum balas atau aduan disalurkan melalui saluran rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan sewajarnya dan pihaknya sentiasa komited dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, profesional dan berkualiti kepada semua pesakit.

Terdahulu tular video di media sosial yang memaparkan suasana bilik konsultasi dan ruang perawatan di JKT HSA tanpa pegawai perubatan.

Seorang pengguna TikTok yang memuat naik video itu mendakwa pesakit ‘disidai’ tiga jam akibat ketiadaan pegawai perubatan serta menzahirkan kekecewaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top