Paris: Perjalanan Paris Saint-Germain (PSG) ke final Liga Juara-Juara (UCL) musim ini banyak dipacu kekuatan berpasukan, namun Khvicha Kvaratskhelia muncul antara pemain paling menyerlah dalam skuad kendalian Luis Enrique.
Menjelang final menentang Arsenal di Budapest awal pagi Ahad ini, pemain sayap dari Georgia itu menjadi simbol corak permainan agresif dan kreatif PSG.
Kvaratskhelia memberikan dimensi berbeza kepada jentera serangan PSG yang turut dibarisi Ousmane Dembele, Vitinha dan Joao Neves.
Sebelum mencipta nama di Paris, pemain berusia 25 tahun itu terlebih dahulu mencuri perhatian bersama Napoli selepas menyertai kelab Serie A itu dari Dinamo Batumi pada 2022.
Ketika itu, ramai penyokong Napoli langsung tidak mengenalinya sebelum dia akhirnya digelar ‘Kvaradona’ kerana gaya permainan yang mengingatkan mereka kepada legenda Diego Maradona.
Bermain di bahagian sayap kiri, Kvaratskhelia memukau Serie A menerusi kemahiran gelecek, perubahan arah pantas dan kepantasan luar biasa.
Menjelang Januari 2023, dia sudah meledak enam gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan dalam 14 perlawanan liga selain menyerlah di Liga Juara-Juara.
Bekas jurulatih Napoli, Luciano Spalletti, menyifatkan ketidaktentuan permainan Kvaratskhelia sebagai kelebihan terbesar pemain itu.
“Dia mampu mengubah sesuatu yang biasa menjadi luar biasa,” kata Spalletti.
Di bawah Enrique, Kvaratskhelia kini tampil lebih lengkap dengan disiplin bertahan dan tekanan tinggi selain terus menjadi ancaman utama di bahagian serangan.
Daripada pemain yang kurang dikenali, Kvaratskhelia kini muncul antara pemain serangan terbaik Eropah dan mampu menjadi penentu dalam final menentang Arsenal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




