Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan jetski hanyut di Langkawi

Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan jetski hanyut di Langkawi

Alor Setar: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan sebuah jet ski yang hanyut di tengah laut dalam kejadian di Pantai Tengah, Langkawi, pada Khamis.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 9 malam sebelum tiba di lokasi 22 minit kemudian.

“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra digerakkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami dimaklumkan mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, dipercayai lemas di laut pada jarak kira-kira 100 meter dari pantai.

“Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan jetski yang hanyut di tengah laut sebelum ombak kuat menyebabkan mangsa tercampak ke dalam air. Difahamkan mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi pencarian awal turut dijalankan di kawasan persisiran pantai bersama orang awam, namun mangsa masih belum ditemui.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) akan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) awal pagi esok bagi mengesan mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top