syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Raja Ilya memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki waris terdekat arwah bapa saudaranya, Allahyarham Abdul Rahman yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad memaklumkan bapa saudaranya disahkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan dalaman selepas lebih 20 tahun ditempatkan di Hospital Tanjung Rambutan, Perak.
“Kami memang rapat sejak saya masih kecil. Memang pak cik ini sajalah yang kami ada, jadi kami buat sedaya mampu untuk jaga pak cik.
“Saudara-mara sebelah emak saya pun cuba sedaya upaya untuk tolong selama ini. Kami banyak buat apa yang kami boleh sebagai sebuah keluarga,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut mengenai usaha mencari isteri dan anak-anak Abdul Rahman yang juga abang sulung ibunya, Ilya yang kini menetap di Australia menjelaskan pihak keluarga kini buntu kerana waris arwah gagal dikesan keberadaan mereka.
Namun, mereka sekeluarga tetap berharap agar darah daging arwah dapat tampil demi penghormatan terakhir.
“Nombor telefon (waris arwah) atau apa-apa pun tak ada. Memang mereka sudah lama juga putus hubungan dengan keluarga kami.
“Kami cuba sedaya upaya nak menjejaki mereka, nak beritahu yang ayah mereka sudah meninggal dan berharap mereka akan datang menziarahinya,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Ilya turut melahirkan rasa terkilan amat mendalam kerana tidak dapat berada di sisi arwah pada saat akhir berikutan masalah kelewatan dokumen pasport anak-anaknya.
“Emak saya sajalah yang dekat sana dengan saudara-saudara sebelah emak dan kakak saya.
“Jika diikutkan, saya patut ada dekat sana sekarang sebab memang dah rancang lama nak balik sambut Aidiladha. Tiket penerbangan semua sudah ditempah, tapi saat akhir kami kena batalkan penerbangan sebab pasport anak-anak tak sampai.
“Kali terakhir saya jumpa dia masa saya balik sebelum ini. Sebab setiap kali balik, memang saya akan pergi melawat dia dulu. Memang selama ini masa duduk di Kuala Lumpur, masa bujang pun, memang saya kerap pergi tengok dia.
“Banyak kali berniat nak bawa dia keluar, tapi selalu dinasihatkan yang keadaan dia memang tak boleh dibawa keluar. Tak tahulah, saya kelu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




