am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kanak-kanak lelaki yang hilang selepas jatuh dari tebing Sungai Bernam dekat Kampung Sungai Nilam, Gedangsa, Hulu Selangor ditemukan lemas, hari ini.
Ketua Zon Rawang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mustakim Rimon berkata, mayat Muhammad Aakif Imran Asrul Nizam, 10, ditemui pada 4.36 petang di dasar sungai berkedalaman enam meter.
“Mangsa ditemui pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya dalam kenyataan.
Mustakim berkata, mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Media sebelum ini melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Aakif Imran memasuki hari kedua dengan pencarian diperluaskan sehingga tiga kilometer.
© New Straits Times Press (M) Bhd




