Siti Khadijah dedah berdepan detik cemas pernah diganggu 'flasher'

Siti Khadijah dedah berdepan detik cemas pernah diganggu 'flasher'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Siti Khadijah Halim mendedahkan pernah berdepan detik mencemaskan apabila diganggu lelaki yang secara tiba-tiba menunjukkan kemaluan ketika berada di Ipoh, Perak.

Menurut Siti Khadijah, 29, kejadian itu berlaku di awal kemunculannya dalam industri seni dan sedang menjalani penggambaran sebuah drama di bandar raya berkenaan.

Katanya, ketika kejadian dia pergi ke sebuah premis dobi sebelum diekori seorang lelaki yang dilihat berkelakuan mencurigakan.

“Dia ikut saya sampai ke kereta dan tiba-tiba dia ‘flash’ (tunjuk kemaluan) dekat saya. Saya terus jadi kaku dan tak tahu nak rasa apa waktu itu.

“Bila benda itu berlaku, saya terus ‘jammed’. Selepas beberapa ketika baru saya rasa marah dan terfikir kenapa saya tak langgar saja lelaki itu,” katanya dalam audio siar Sembang Seram, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan lelaki terbabit bukan saja menjijikkan, malah boleh memberi trauma kepada wanita yang berdepan situasi sedemikian.

“Saya fikir kalau benda itu jadi dekat perempuan lain yang tak kuat, mungkin boleh trauma sampai bila-bila.

“Lelaki macam ini mungkin rasa perempuan akan suka atau teruja, tapi sebenarnya perempuan rasa jijik dan takut,” katanya.

Selain kejadian itu, pelakon filem Khadam terbabit turut mendedahkan pernah menerima gambar lucah daripada individu tidak dikenali di media sosial dan turut membuat laporan polis.

“Saya pernah ‘screenshot’ semua gambar yang dihantar dan buat laporan polis, tapi lama-kelamaan saya penat sebab macam tak nampak hasil.

“Sekarang saya lebih selesa sekat saja akaun macam itu daripada terus layan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Khadijah bakal tampil menerusi filem seram terbaharu berjudul Khadam yang dijangka ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini.

Filem itu turut menampilkan barisan pelakon lain termasuk Aghniny Haque dan Remy Ishak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top