Arsenal mahu lengkapkan kebangkitan

Arsenal mahu lengkapkan kebangkitan

London: Arsenal kini berada di ambang untuk melengkapkan kebangkitan semula mereka di pentas bola sepak Eropah apabila bakal berdepan Paris Saint-Germain pada final Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Ahad ini.

Kelab London itu baru saja menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya mengetepikan cabaran Manchester City minggu lalu sekali gus menghapuskan label “hampir juara” yang menghantui pengendali mereka, Mikel Arteta.

Dengan tekanan memburu kejuaraan EPL kini sudah berakhir, Arsenal kini memburu trofi tambahan yang mampu meletakkan mereka mengatasi legenda skuad “Invincibles” kendalian Arsene Wenger pada musim 2003-04.

Namun cabaran besar menanti di Budapest apabila mereka bakal menentang PSG bimbingan Luis Enrique yang tampil cukup mantap musim ini dengan gabungan skil, kecerdikan dan kerja keras.

Seperti final 2006 ketika tewas kepada Barcelona kendalian Frank Rijkaard, Arsenal sekali lagi turun selaku bukan pilihan.

Bagaimanapun, kemampuan Arsenal untuk menyerlah di pentas besar tidak boleh dipertikaikan.

Meskipun gaya permainan mereka yang lebih bergantung kepada pertahanan mantap dan situasi bola mati tidak digemari sesetengah pihak, sorakan “1-0 to the Arsenal” yang popular era bekas pengurus, George Graham kini kembali berkumandang dengan penuh bangga.

Lapan kemenangan Arsenal dalam EPL musim ini hadir menerusi keputusan 1-0 selain mencatat 19 aksi tanpa bolos.

Dalam saingan UCL pula, Arsenal merekodkan sembilan aksi tanpa dibolosi paling tinggi dalam kejohanan selain hanya melepaskan enam gol dalam 14 perlawanan tanpa kalah.

Ketika juara bertahan PSG memikat peminat dengan corak permainan menyerang, Arsenal pula tidak mempedulikan kritikan terhadap pendekatan pragmatik mereka dan dijangka kekal dengan formula sama pada final nanti.

“Gol pertama akan jadi kunci utama.

“PSG pasti bimbang jika Arsenal mendahului 1-0 kerana mereka tahu situasi itu akan jadi sangat sukar buat mereka,” kata bekas pemain tengah Arsenal, Paul Merson.

Kekalahan 2-1 kepada Barcelona pada final 2006 diikuti kemaraan ke separuh akhir tiga tahun kemudian, namun kali ini Arsenal mahu memastikan pengakhiran berbeza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top