am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki sebilah kerambit dalam sekatan jalan raya di Chabang Empat Salam di sini awal pagi tadi.
Suspek berusia 23 tahun itu, yang menunggang motosikal ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 2.30 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA sedang menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan sebelum menahan lelaki itu untuk pemeriksaan selepas melalui sekatan jalan raya berkenaan.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, anggota menemui sebilah kerambit yang dibungkus dengan plastik lutsinar di dalam poket belakang kanan seluar jeans suspek.
“Suspek mengaku memiliki senjata itu dan mendakwa mendapatkannya daripada seorang wanita dikenali sebagai ‘Kak Za’ di Kampung Gual Bunut petang semalam,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyimpan kerambit itu untuk tujuan mempertahankan diri susulan pertikaian berkaitan urusan jual beli motosikal.
“Dia mendakwa seorang lelaki mengugut mahu membunuhnya selepas perselisihan itu, menyebabkan dia bimbang akan keselamatannya,” katanya.
Anggota PGA kemudian merampas motosikal bernilai RM9,000 serta kerambit yang dianggarkan bernilai RM200.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ahmad Radzi berkata, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




