Langit Makkah saksikan penjajaran hampir sempurna matahari di atas Kaabah

Langit Makkah saksikan penjajaran hampir sempurna matahari di atas Kaabah
Langit Makkah saksikan penjajaran hampir sempurna matahari di atas Kaabah

Penjajaran hampir sempurna matahari di atas Kaabah di Makkah berlaku sekali setiap 33 tahun, menurut ahli astronomi. Foto SPA

MAKKAH – Langit di Makkah menyaksikan fenomena astronomi jarang berlaku apabila matahari berada hampir tepat di atas Kaabah pada jam 12.18 tengah hari waktu tempatan, Khamis.

Fenomena itu yang berlaku serentak dengan azan Zuhur memberi peluang semula jadi paling tepat untuk menentukan arah kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Pengarah Persatuan Astronomi Jeddah, Majed Abu Zahra, matahari berada pada kedudukan paling hampir dengan penjajaran sempurna di atas Kaabah pada altitud 89.94 darjah, dengan perbezaan hanya sekitar 0.06 darjah daripada kedudukan tepat.

Katanya, keadaan itu membolehkan arah kiblat disemak menggunakan kedudukan matahari dan bayang-bayang objek tegak.

“Ketika fenomena berlaku, sinaran matahari jatuh secara tegak lurus ke bumi menyebabkan Kaabah serta semua objek tegak di Makkah tidak menghasilkan bayang-bayang,” katanya.

Beliau berkata, fenomena itu berlaku dua kali setahun hasil pergerakan ketara matahari antara Garisan Sartan dan Garisan Jadi.

Menurutnya, fenomena tersebut mempunyai kepentingan saintifik dan pendidikan kerana berkait rapat dengan pengiraan astronomi, pergerakan bumi serta koordinat cakerawala.

“Malah, kaedah tanpa bayang-bayang ini pernah digunakan oleh ilmuwan Islam terdahulu untuk menentukan arah kiblat masjid di pelbagai benua,” katanya.

Makkah yang terletak pada latitud kira-kira 21.4 darjah utara mengalami keadaan matahari tepat di atas koordinatnya dua kali setahun iaitu pada penghujung Mei ketika matahari bergerak ke utara dan pertengahan Julai ketika kembali ke selatan.

Fenomena kali ini turut dianggap istimewa kerana berlaku pada hari kedua Aidiladha.

Menurut ahli astronomi, gabungan fenomena matahari tepat di atas Kaabah dengan musim haji dan Aidiladha hanya berlaku sekali setiap 33 tahun disebabkan perbezaan antara kalendar Hijrah dan kalendar solar.

Sementara itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi menegaskan fenomena berkenaan tidak menyebabkan gelombang haba luar biasa secara langsung.

Katanya, walaupun sinaran matahari ketika itu sangat tegak, suhu harian tetap dipengaruhi faktor lain seperti kelembapan, pergerakan jisim udara dan kelajuan angin.-Agensi

Scroll to Top