MANILA – ASEAN mahu mempercepatkan pengoperasian Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan bagi memperkukuh tindakan bersama menangani kebakaran hutan dan pencemaran udara yang kembali menjejaskan beberapa negara Asia Tenggara.Desakan itu disuarakan menteri-menteri luar ASEAN ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pasay City, Filipina, pada Sabtu susulan peningkatan kebimbangan terhadap keadaan jerebu teruk yang melanda rantau ini.Kebakaran hutan secara meluas di Indonesia dilaporkan mencetuskan pencemaran jerebu sehingga asap tebal bergerak merentasi sempadan dan sampai ke Filipina, sekali gus menyebabkan beberapa sekolah terpaksa membatalkan sesi persekolahan pada separuh kedua tahun ini.Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa Lazaro berkata, Indonesia dalam mesyuarat berkenaan memaklumkan bahawa negara itu sedang mengambil tindakan bersungguh-sungguh bagi menangani pencemaran jerebu.Menurutnya, penjelasan Indonesia menerima maklum balas positif daripada Malaysia dan Singapura.Beliau berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada tindakan yang sedang dilaksanakan setiap negara serta usaha kerjasama serantau bagi mengurangkan kebakaran tanah dan hutan.Pusat yang dikenali sebagai ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) itu diwujudkan bagi menyelaras kerjasama negara anggota dalam menguruskan kesan kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan.Penubuhannya merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang diterima pakai pada 2002 dan mula berkuat kuasa pada 2003.Bagaimanapun, pusat berkenaan masih belum dapat beroperasi sepenuhnya kerana memerlukan sekurang-kurangnya enam negara anggota mengemukakan instrumen ratifikasi perjanjian penubuhannya.Setakat awal November, hanya Vietnam dilaporkan telah memenuhi keperluan berkenaan.Indonesia sebelum ini memaklumkan bahawa sekretariat pusat penyelarasan itu telah diwujudkan di Jakarta, namun operasi sepenuhnya masih tertangguh sementara menunggu proses ratifikasi diselesaikan.Pusat itu dijangka memainkan peranan penting dalam perkongsian maklumat, penyelarasan bantuan kecemasan serta mobilisasi kepakaran dan aset pemadaman kebakaran antara negara anggota.- Agensi
ASEAN mahu percepat pusat kawalan jerebu rentas sempadan
Malay News | https://www.malay.news/asean-mahu-percepat-pusat-kawalan-jerebu-rentas-sempadan/