Prabowo arah sekolah di Indonesia pelajari bahasa Perancis

Prabowo arah sekolah di Indonesia pelajari bahasa Perancis
Prabowo arah sekolah di Indonesia pelajari bahasa Perancis

Prabowo (kiri) dan Macron. Foto Tempo

PARIS – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan semua sekolah di negara itu supaya memperkenalkan pembelajaran bahasa Perancis sebagai persediaan menghadapi perkembangan global pada masa depan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Élysée, Paris pada Khamis.

Menurut Prabowo, hubungan dua hala antara Indonesia dan Perancis ketika ini berada pada tahap sangat baik merangkumi pelbagai sektor termasuk pendidikan.

“Sekarang saya sudah arahkan semua peringkat sekolah di Indonesia untuk mempelajari bahasa Perancis, melihat kepada perkembangan dunia pada masa depan,” katanya seperti disiarkan menerusi saluran YouTube Sekretariat Presiden Indonesia.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara selain percaya Indonesia dan Perancis mampu memainkan peranan positif dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu.

Prabowo juga mengakui lawatannya ke Perancis kali ini merupakan kunjungan ketiga dalam tempoh lima bulan selepas lawatan terdahulu pada Januari dan April lalu.

Selain itu, beliau turut mengimbas penyertaan Indonesia sebagai tetamu kehormat dalam perarakan ketenteraan Hari Bastille 2025 yang disifatkannya sebagai penghormatan besar buat republik berkenaan.

Sebelum ini, Prabowo turut mencadangkan supaya bahasa Portugis diperkenalkan di sekolah-sekolah Indonesia selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva pada tahun lalu.

Pada masa sama, kerajaan Indonesia juga sedang memperluaskan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah bermula 2027 sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar.

Media tempatan turut melaporkan bahawa Prabowo mahu beberapa bahasa asing lain termasuk Mandarin dan Sepanyol diperluaskan dalam sistem pendidikan negara itu sejajar perubahan ekonomi dan geopolitik global.-Agensi

Scroll to Top