JAKARTA – Kegembiraan bercuti bertukar tragedi apabila empat sekeluarga ditemukan meninggal dunia pada Rabu, ketika melakukan aktiviti glamping di kawasan pelancongan Posong, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah.
Mangsa terdiri daripada bapa, Muhamad Ali Munawar, 52, isterinya Maghfirah, 43, serta dua anak mereka, Bagas Amar Hakiki, 21, dan Alvino Evan Hakim, 16.
Pihak polis percaya keluarga itu berkemungkinan maut akibat keracunan gas di dalam khemah glamping yang mereka sewa.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Temanggung, Iptu I Komang Mahendra Deputra berkata, siasatan awal mendapati terdapat dapur gas mudah alih yang digunakan mangsa untuk memasak selain aktiviti barbeku sebelum mereka tidur.

Anggota polis menjalankan proses membawa keluar jenazah empat sekeluarga yang ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti glamping di Posong, Temanggung, Jawa Tengah. – Foto: Polres Temanggung.
“Kemungkinan terdapat dua punca, sama ada daripada gas mudah alih itu atau asap selepas aktiviti membakar makanan. Selepas barbeku mereka terus tidur dan pintu khemah ditutup,” katanya kepada wartawan pada Khamis.
Menurut beliau, keadaan khemah yang tertutup dipercayai menyebabkan pengudaraan tidak berjalan dengan baik sehingga gas terperangkap di dalam ruang berkenaan.
“Kedudukan tempat barbeku memang sedikit di luar khemah, tetapi berkemungkinan asap atau gas masuk ke dalam. Jadi terdapat dua kemungkinan,” jelasnya.
Sebelum ini, polis mengesyaki mangsa maut akibat keracunan makanan.
Bagaimanapun, andaian itu ditolak selepas tiada kesan muntah atau sisa makanan ditemui pada mangsa.
Mahendra berkata, keadaan mangsa lebih menyerupai simptom keracunan gas karbon dioksida.

Petugas melakukan proses evakuasi jenazah empat sekeluarga yang ditemukan maut ketika glamping di kawasan pelancongan Posong, Temanggung, Jawa Tengah. – Foto: RSUD Kabupaten Temanggung
“Tiada muntah dan tiada kesan pergelutan. Kebiasaannya mangsa keracunan gas akan menjadi lemah, mengantuk dan kemudian tidak sedarkan diri,” katanya.
Ditemui tidak bernyawa dalam khemah
Kesemua mangsa ditemukan terbaring di atas tilam di dalam khemah glamping tanpa sebarang tanda kecederaan luaran.
Bagaimanapun, tiga daripada mangsa didapati dalam keadaan tangan menggenggam, manakala tangan seorang lagi tidak dapat dilihat kerana diselubungi selimut.
Mayat kesemua mangsa telah dibawa keluar untuk tindakan lanjut, sementara polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Tangisan sambut ketibaan jenazah
Ketibaan empat jenazah di rumah keluarga di Desa Kebumen, Kecamatan Banyubiru, Kabupaten Semarang disambut dengan tangisan ahli keluarga dan penduduk setempat.
Jenazah kemudian disolatkan sebelum dikebumikan.

Ketibaan jenazah empat sekeluarga yang maut ketika melakukan aktiviti glamping di Temanggung disambut ahli keluarga dan penduduk di rumah duka di Desa Kebumen, Banyubiru, Kabupaten Semarang. – Foto: Kumparan.
Seorang saudara mangsa, Muhamad Khoerudin, 50, berkata, keluarga mereka menerima berita duka itu pada malam Rabu.
“Saya dimaklumkan sekitar jam 10 malam. Apa yang saya dengar mereka dipercayai keracunan,” katanya.
Namun beliau menyerahkan kepada pihak hospital dan polis untuk menentukan punca sebenar kematian.
“Masih menunggu hasil bedah siasat. Polis dan pihak hospital yang tahu sama ada benar keracunan atau sebaliknya,” ujarnya.
Adik kepada Maghfirah, Ashadi, 51, pula berkata, dia tidak menyangka percutian keluarga itu berakhir dengan tragedi.
“Dia cuma beritahu mahu pergi bercuti, tetapi tidak menyatakan lokasi,” katanya.
Difahamkan, keluarga tersebut mula menginap di tapak glamping itu sejak Selasa lalu.
Namun pada keesokan harinya, pihak pengurusan gagal menghubungi mereka walaupun tempoh sewaan telah tamat.
Petugas kemudian membuka khemah sekitar jam 3.30 petang waktu tempatan sebelum menemukan kesemua mangsa sudah tidak bernyawa.
Dikenali pemurah dan suka membantu
Seorang lagi kenalan keluarga, Yuliana berkata, keluarga itu dikenali sebagai individu yang baik hati dan pemurah.
“Mereka sangat dermawan. Baru sahaja melakukan ibadah korban sempena Aidiladha dengan menyembelih dua ekor kambing,” katanya.
Menurutnya, keluarga itu juga baru selesai mengubah suai rumah keluarga bagi memudahkan saudara-mara berkumpul.
“Mereka siapkan ruang belakang rumah untuk tempat berkumpul secara santai,” ujarnya.
Katanya, kehilangan keluarga tersebut amat mengejutkan kerana mereka sebelum ini dilihat sihat dan aktif membantu masyarakat.

Suasana pilu di rumah duka empat sekeluarga yang meninggal dunia ketika melakukan aktiviti glamping di Temanggung, di Desa Kebumen, Banyubiru, Kabupaten Semarang pada Khamis. – Foto: Intan Alliva Khansa/kumparan
Anak sulung keluarga itu, Bagas Amar Hakiki merupakan pelajar jurusan Kesusasteraan Perancis di Universitas Gadjah Mada (UGM) pengambilan 2022.
Selain aktif sebagai mahasiswa, Bagas juga bekerja sebagai jurugambar bebas untuk pasukan dokumentasi Istana Yogyakarta.
Jurucakap Istana Yogyakarta, Nyi RW Kartiutami Guritno mengesahkan perkara itu.
“Bagas ialah antara jurugambar kami dan sebahagian daripada pasukan dokumentasi utama,” katanya.
Menurut beliau, Bagas mula menyertai pihak istana menerusi program latihan industri sebelum diterima sebagai jurugambar bebas kerana bakat dan kemahirannya.
“Kami kehilangan bukan sahaja seorang jurugambar berbakat, tetapi juga sahabat dan rakan kerja yang sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Ilmu Budaya UGM, Prof Dr Setiadi turut merakamkan ucapan takziah atas tragedi tersebut.
“FIB sangat berduka atas pemergian mahasiswa kami,” katanya.
Bagas juga difahamkan pernah memegang jawatan Ketua Unit Fotografi UGM bagi sesi 2023/2024.
Pihak universiti kini menunggu hasil siasatan rasmi polis bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.- Agensi



