Projek hamper, cenderahati jana pendapatan enam angka

Projek hamper, cenderahati jana pendapatan enam angka

BERMULA dengan menghasilkan cenderahati secara sambilan dari rumah, seorang bekas pembantu akaun kini berjaya membina jenama sendiri dalam industri gubahan hamper dan cenderahati, dengan pendapatan mencecah enam angka setiap bulan.

Menerusi jenama Zuryn Craft, Zurina Saidon, 43, kini berjaya membuka kedai sendiri di Senawang yang mula beroperasi sejak Januari lalu.

Menurutnya, kejayaan yang diraih bukanlah sesuatu yang datang dalam sekelip mata, sebaliknya hasil usaha berterusan selama hampir sedekad.

“Saya sememangnya meminati seni kraf tangan dan ketika masih bekerja lagi, saya sudah mula mengambil tempahan secara dalam talian.

“Kalau dulu saya banyak menghasilkan cenderahati seperti bantal, kotak pensel dan samping yang akan disiapkan pada waktu malam atau cuti hujung minggu,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Zurina menyusun gubahan bouquet di kedainya di Senawang.

Zurina menyusun gubahan bouquet di kedainya di Senawang.

Ibu kepada dua anak itu berkata, pada tahun 2017, dia membuat keputusan untuk menceburi bidang terbabit secara serius dengan beralih kepada penghasilan hamper, bouquet surprise dan cenderahati korporat.

Walaupun tidak pernah mengikuti kursus atau latihan formal, Zurina yang sememangnya kreatif mengasah teknik gubahan dan kraf tangannya sendiri selain mempelajarinya menerusi video dalam talian.

“Bagi saya, apabila menghasilkan gubahan, kita perlu kreatif mencuba sesuatu yang baharu dan yang penting perlu menepati cita rasa pelanggan.

“Macam sekarang, trend gubahan menggunakan bunga kawat bulu semakin mendapat sambutan kerana ia boleh disimpan sebagai kenangan berbanding bunga hidup yang tidak tahan lama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemilihan warna dan hiasan dalam sesuatu gubahan memainkan peranan penting untuk menjadikannya lebih menarik.

Tambahnya, ia tidak semestinya memerlukan kos yang mahal, sebaliknya kreativiti menjadi elemen paling utama.

Zurina tidak menang tangan menyiapkan tempahan cenderahati untuk sambutan Hari Guru

Zurina tidak menang tangan menyiapkan tempahan cenderahati untuk sambutan Hari Guru

“Sebab itu saya tidak hanya bergantung kepada konsep sama setiap tahun kerana tidak mahu pelanggan berasa jemu, sekali gus memberi mereka lebih banyak pilihan.

“Ada pelanggan yang inginkan konsep tersendiri. Jadi saya cuba memenuhi permintaan mereka selagi ia tidak keterlaluan dan masih sesuai dengan bajet,” katanya.

Tambahnya lagi, antara faktor yang menarik minat pelanggan ialah reka bentuk hamper yang eksklusif, fleksibel dan ditawarkan pada harga mampu milik.

“Ada pelanggan memberitahu harga yang saya tawarkan lebih berpatutan, tetapi masih mengekalkan kualiti dan kreativiti dalam setiap gubahan,” ujarnya.

Menggunakan slogan ‘bouquet yang cantik nampak mahal, tapi murah, berbaloi-baloi’, Zurina bersyukur kerana mempunyai ramai pelanggan tetap terutama daripada sekolah, jabatan kerajaan dan hospital.

Katanya, pemasaran ‘mulut ke mulut’ menyebabkan semakin ramai mengenali jenama Zuryn Craft termasuk pelanggan dari luar Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, perniagaan saya semakin berkembang sehingga ada masanya saya tidak mampu menyiapkan gubahan secara bersendirian, terutama pada musim perayaan atau sambutan hari-hari tertentu.

“Namun, potensi sebenar perniagaan hamper dan cenderahati ini mula terserlah sepanjang Ramadan, Aidilfitri dan sambutan Hari Guru. Memang tidak menang tangan dibuatnya,” katanya.

Zurina turut menerima tempahan hantaran perkahwinan dengan pakej serendah RM15 bagi satu dulang.

Sementara itu, beliau akui pembukaan kedai bukan sahaja memudahkan pelanggan melihat produk secara langsung, malah menyediakan ruang kerja yang lebih sistematik untuk pengurusan stok dan operasi harian.

 

Scroll to Top