Binatang tidak dapat ditangkap untuk disembelih, boleh ditembak – Mufti Perlis

Binatang tidak dapat ditangkap untuk disembelih, boleh ditembak – Mufti Perlis

KANGAR: Binatang yang boleh dimakan namun tidak dapat ditangkap untuk disembelih boleh dipanah atau ditembak terlebih dahulu.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, bahkan, boleh menggunakan haiwan buruan seperti anjing untuk menangkapnya.

“Binatang yang boleh dimakan, yang tidak dapat ditangkap untuk disembelih, boleh dipanah, atau ditembak terlebih dahulu. Bahkan boleh menggunakan haiwan buruan seperti anjing untuk menangkapnya.

“Dibaca Bismillah sebelum melancarkan. Jika panah atau peluru atau gigitan telah mematikan haiwan tersebut, maka boleh dimakan.

“Jika belum mematikan, hendaklah disembelih seperti biasa,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah tampil memberi penjelasan bagi mengelak salah faham atau kekeliruan berhubung video tular beliau menembak seekor lembu yang sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis di sini semalam.

Beliau berkata, lembu berkenaan yang terlucut tali telah mengamuk sekali gus telah mengundang mudarat kepada para petugas sebagai mana berlaku di lokasi-lokasi lain yang ada sehingga menyebabkan kematian.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu, beliau hanya menembak ke arah kaki lembu berkenaan dan selepas itu, proses penyembelihan dilakukan seperti biasa.

“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa hentikanlah daripada mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang ramai.

“Seekor lembu itu yang kita tembak tidak mati, ia dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa. Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih.

“Saya tembak bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh negara sehingga ada kes yang mengorbankan nyawa akibat ditanduk lembu,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top