am@hmetro.com.my
Langkawi: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika cuba mendapatkan semula sebuah jet ski yang hanyut di Pantai Tengah di sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.
Mayat mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, ditemukan jam 6 petang oleh orang awam yang menaiki jet ski dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dilaporkan terjatuh ke laut.
Beliau berkata, penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pasukan penyelamat sebelum mayat mangsa dibawa ke darat oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Khairul Azhar berkata, operasi SAR disambung pada jam 8 pagi selepas pencarian hari pertama dihentikan pada jam 7 malam semalam.
Operasi itu membabitkan aset Maritim Malaysia, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menjalankan pencarian di beberapa sektor sekitar perairan Pulau Tepor.
Semalam, media melaporkan mangsa terjatuh ke laut kira-kira 100 meter dari pantai selepas dipercayai cuba mendapatkan semula sebuah jet ski yang hanyut.
Mangsa dipercayai terjun ke laut untuk mengejar jet ski berkenaan sebelum dihanyutkan ombak kuat. Difahamkan, mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




