MODENAS lancar tiga model baharu

MODENAS lancar tiga model baharu

lizamridzuan@hmetro.com.my

Serdang: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperluaskan portfolio produknya menerusi pelancaran tiga model baharu iaitu Modenas Z650 S, Kawasaki Z1100 SE dan Kawasaki Ninja ZX-10R pada Malaysia Bike Show 2026 di MAEPS, di sini, hari ini.

Pengenalan model berkenaan dilihat sebagai langkah strategik syarikat bagi meluaskan pilihan motosikal dalam segmen street, premium naked dan supersport, selari dengan permintaan pasaran yang terus berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berkata, pasaran motosikal tempatan kini menyaksikan perubahan permintaan apabila pengguna semakin mencari model yang sepadan dengan gaya hidup, tahap pengalaman dan jangkaan prestasi masing-masing.

“Modenas Z650 S, Kawasaki Z1100 SE dan Kawasaki Ninja ZX-10R menambah pilihan produk kami kepada penunggang Malaysia merentas segmen street, premium naked dan supersport,” katanya ketika pelancaran model berkenaan.

Menurutnya, pelancaran tiga model baharu itu juga mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna tempatan merangkumi pelbagai kategori motosikal.

Modenas Z650 S diperkenalkan sebagai motosikal middleweight street yang menggabungkan praktikaliti penggunaan harian dengan prestasi responsif serta reka bentuk lebih sporty, sesuai digunakan bagi tunggangan harian mahupun hujung minggu.

Sementara itu, Kawasaki Z1100 SE memperluaskan penawaran segmen premium naked menerusi enjin berkapasiti lebih besar, dipadankan dengan prestasi dipertingkat, kejuruteraan lebih halus serta ciri lebih memfokuskan keselesaan penunggang.

Bagi peminat motosikal berprestasi tinggi, Kawasaki Ninja ZX-10R pula meneruskan legasi supersport Kawasaki dengan identiti prestasi Ninja, selain menampilkan rekaan aerodinamik serta teknologi bantuan tunggangan yang lebih moden.

Dalam pada itu, MODENAS turut memberi tumpuan kepada pengalaman pemilikan pelanggan menerusi kesiapsiagaan rangkaian pengedar, penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan, ketersediaan alat ganti dan peningkatan keupayaan teknikal.

Modenas Z650 S ditawarkan pada harga RM35,600, Kawasaki Z1100 SE (RM69,900) manakala Kawasaki Ninja ZX-10R dijual pada harga RM114,600 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top