Bukan sekadar sajian, makanan Malaysia kini medium diplomasi budaya

Bukan sekadar sajian, makanan Malaysia kini medium diplomasi budaya

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keunikan identiti gastronomi dipengaruhi pelbagai budaya menjadikan makanan Malaysia bukan sekadar sajian tetapi juga medium diplomasi budaya yang mampu memperkenalkan identiti negara ini kepada dunia.

Chef restoran, Azli Ahmad, 49, berkata, pelancong bukan sahaja datang ke Malaysia untuk makan tetapi mereka juga mahu memahami sejarah, budaya, rempah, adat dan cara hidup masyarakat tempatan.

“Ini membuka peluang besar dalam sektor pelancongan, pendidikan kulinari, pembangunan bakat chef muda serta industri makanan tempatan.

“Saya percaya gastronomi boleh menjadi satu ‘soft power’ negara seperti mana Jepun dengan sushi, Korea dengan kimchi dan Thailand dengan tom yam,” katanya.

Azli berkata, sebagai chef, warisan makanan pelbagai kaum di negara ini banyak mempengaruhi resipi dan sajian yang dihasilkannya.

“Saya sering mengangkat elemen tradisional Melayu seperti ulam, herba tempatan, rempah dan teknik masakan kampung yang digabungkan dengan pengaruh budaya lain yang sudah lama wujud dalam masyarakat Malaysia.

“Contohnya penggunaan rempah India, teknik tumisan Cina atau sentuhan Nyonya dalam persembahan dan rasa.

“Gabungan ini mencerminkan identiti sebenar Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya tetapi tetap harmoni.

“Tambahan pula warisan Melayu masih lagi ada resepi lama yang boleh diketengahkan dengan bahan masakan dengan unik dan sukar didapati,” katanya.

Menurutnya, terdapat keperluan kerjasama lebih menyeluruh antara kerajaan, industri hospitaliti, chef, institusi pendidikan dan media bagi meningkatkan promosi dan kesedaran mengenai warisan makanan Malaysia.

“Kita perlu lebih banyak program dokumentasi makanan warisan, kelas masakan tradisional, festival gastronomi berkonsep pengalaman budaya serta pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, generasi muda juga perlu dididik mengenai nilai warisan makanan supaya resipi tradisi tidak hilang ditelan zaman. Ini kerana kini kewujudan makanan tular yang tidak bertahan lama dan sekadar mengikut trend boleh merosakkan nilai itu,” katanya.

Sementara itu, chef peribadi, Goh Chiu Kuan, 45, berkata, masyarakat termasuk pelancong juga juga perlu dijelaskan mengenai sumber bahan dalam sesuatu sajian dalam usaha mempromosikan menu warisan.

“Saya lihat banyak menu warisan yang boleh dikongsi pelbagai kaum di negara ini. Sebagai contoh, bak kut teh yang boleh diganti protein kepada ayam dan daging.

“Adalah penting bagi umat Islam untuk makan dari sumber yang halal. Disebabkan itu, pengenalan bahan serta sumbernya adalah penting bagi masyarakat termasuk pelancong,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri belajar daripada rakan atau mencari maklumat di internet bagi mendapat resipi masakan warisan Melayu, India dan lain-lain.

“Saya belajar sendiri dengan rakan berbangsa Melayu untuk masak kuih jala. Malah, waktu saya kecil dulu, nenek banyak menyediakan masakan Melayu.

“Keunikan pelbagai kaum ini menghasilkan pelbagai menu warisan yang boleh diketengahkan dan diperkenalkan kepada pelancong sehingga ia terkenal di mata dunia,” katanya.

Seorang lagi chef, M Kalidevan, 35, berkata, Malaysia mampu menjadi bahasa universal yang menghubungkan masyarakat dan memperkenalkannya kepada dunia dengan cara lebih dekat dan emosional.

Sebagai seorang chef, katanya warisan makanan pelbagai kaum di Malaysia memang banyak mempengaruhi resipi dan makanan yang saya hasilkan.

“Saya sendiri membesar dalam suasana masyarakat majmuk dan banyak inspirasi masakan saya datang daripada gabungan budaya Malaysia.

“Contohnya penggunaan rempah ratus India, teknik masakan Melayu, elemen Cina dan juga sentuhan tempatan yang membentuk identiti masakan Malaysia moden.

“Saya percaya inovasi boleh berlaku tanpa menghilangkan akar tradisi dan nilai asal sesuatu makanan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk dikenali bukan sahaja sebagai syurga makanan tetapi juga sebagai negara yang meraikan perpaduan budaya melalui makanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top