BRUSSELS – Platform peruncitan dalam talian dari China, Temu, dikenakan denda 200 juta euro (RM924 juta) oleh Kesatuan Eropah (EU) selepas didapati gagal mengambil langkah mencukupi untuk menghalang penjualan produk haram menerusi platformnya.
Tindakan itu diumumkan pengawal selia teknologi EU pada Khamis susulan fasa pertama siasatan hampir dua tahun yang dijalankan di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA), yang mewajibkan syarikat platform dalam talian berskala besar menangani kandungan dan produk haram atau berbahaya dengan lebih berkesan.
Siasatan tersebut dimulakan selepas aduan dikemukakan oleh organisasi pengguna seluruh Eropah, BEUC, bersama 17 pertubuhan pengguna anggotanya.
Menurut Suruhanjaya Eropah, Temu gagal mengenal pasti, menganalisis dan menilai secara menyeluruh risiko sistemik berkaitan penjualan produk haram di platform berkenaan serta kesannya terhadap pengguna di negara-negara EU.
Suruhanjaya itu turut mengkritik Temu kerana tidak menilai dengan sewajarnya bagaimana sistem cadangan produknya serta program promosi oleh pempengaruh yang bekerjasama dengan syarikat tersebut boleh meningkatkan risiko penjualan produk haram.
Dalam satu kenyataan, Temu berkata, pihaknya menghormati objektif DSA dan keperluan peraturan yang jelas serta konsisten dalam ekonomi digital, namun tidak bersetuju dengan keputusan Suruhanjaya Eropah.
“Temu menghormati objektif Akta Perkhidmatan Digital dan keperluan peraturan yang jelas serta konsisten dalam ekonomi digital.
“Bagaimanapun, kami tidak bersetuju dengan keputusan Suruhanjaya Eropah dan menganggap denda ini tidak seimbang,” menurut syarikat itu.
Temu turut menegaskan bahawa keputusan tersebut merujuk kepada penilaian awal DSA yang dijalankan pada 2024 dan tidak mencerminkan keadaan semasa sistem operasinya.
Menurut syarikat itu, beberapa langkah tambahan telah diambil bagi memperkukuh penilaian risiko, tadbir urus platform dan perlindungan pengguna, selain meneruskan kerjasama dengan pihak pengawal selia.
Sementara itu, Ketua Teknologi EU, Henna Virkkunen berkata, keputusan itu menghantar mesej tegas kepada syarikat teknologi supaya mematuhi keperluan DSA.
“Ini berkaitan pengurusan risiko dan merupakan tunjang utama DSA. Dengan keputusan ini, kami menghantar mesej yang sangat jelas kepada Temu,” katanya.
Suruhanjaya Eropah memberi tempoh sehingga 28 Ogos kepada Temu untuk mengemukakan pelan tindakan pematuhan yang akan dinilai oleh pengawal selia sebelum keputusan lanjut dibuat dalam tempoh dua bulan berikutnya.
Pada masa sama, pihak berkuasa EU masih meneruskan siasatan terhadap beberapa aspek lain termasuk dakwaan reka bentuk perkhidmatan Temu yang berpotensi menyebabkan ketagihan pengguna, penjualan produk haram serta akses penyelidik kepada data platform.
Di bawah peraturan DSA, syarikat yang didapati melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan global mereka.
Denda terhadap Temu merupakan tindakan kedua yang dikenakan di bawah DSA selepas platform media sosial X milik Elon Musk didenda 120 juta euro (kira-kira RM555 juta) pada Disember tahun lalu. – Agensi



