Kelewatan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya tidak wajar dipolitikkan – Amanah

Kelewatan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya tidak wajar dipolitikkan – Amanah

SHAH ALAM – Tindakan beberapa pihak termasuk MCA Selangor mempersoalkan kelewatan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya disifatkan sebagai tidak wajar dan cuba mempolitikkan isu kesihatan rakyat.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, isu kesihatan awam tidak sepatutnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak, termasuk Pengerusi MCA Selangor, Datuk Lawrence Low.

Menurut beliau, Petaling Jaya sememangnya telah lama memerlukan sebuah hospital awam sendiri bagi menampung peningkatan jumlah penduduk serta mengurangkan tekanan terhadap hospital awam sekitar seperti di Klang dan Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau berkata sementara menunggu projek hospital tersebut siap dibina, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara lebih segera termasuk cadangan Galen Centre for Health and Social Policy supaya sebuah hospital swasta bersaiz sederhana di Petaling Jaya disewa dan diambil alih operasinya sebagai hospital awam untuk tempoh tertentu.

Beliau menjelaskan pendekatan itu selari dengan konsep perkongsian awam-swasta telah diperkenalkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melalui Program Hospital Outsourcing (HSOP) sejak 2023, termasuk perkhidmatan seperti radiologi dan kardiologi di hospital swasta.

Ujarnya, pendekatan tersebut berpotensi menjadi penyelesaian praktikal sementara menunggu hospital baharu siap dibina, di samping membantu mengurangkan kesesakan hospital awam di Lembah Klang serta mempercepatkan akses rawatan kepada penduduk Petaling Jaya.

Faiz turut menegaskan bahawa cadangan Hospital Awam Petaling Jaya bukanlah agenda baharu, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan Pakatan Harapan di Selangor.

Beliau berkata, Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 yang diwartakan pada tahun 2011 telah mengambil kira keperluan pembinaan hospital awam di kawasan berkenaan ketika pentadbiran negeri terdahulu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan projek tersebut memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dari segi kelulusan, peruntukan serta perancangan teknikal, yang ketika itu ditadbir oleh Barisan Nasional.

Menurutnya lagi, usaha mengenal pasti tapak hospital hanya dapat digerakkan dengan lebih serius selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada tahun 2018, namun terganggu susulan perubahan politik melalui Langkah Sheraton serta krisis Covid-19.

Faiz berkata, peluang membangunkan hospital berkenaan pada kos lebih munasabah telah terlepas pada pentadbiran terdahulu, menyebabkan kerajaan kini perlu lebih teliti dan strategik dalam memilih lokasi baharu.

Beliau turut memberi amaran bahawa kos pengambilan tanah yang terlalu tinggi boleh menjejaskan peruntukan lain seperti peralatan perubatan, kemudahan pesakit, tenaga kerja dan kelengkapan hospital.

Sehubungan itu, beliau berkata pemilihan lokasi hospital perlu mengambil kira akses rakyat, kesesuaian kawasan serta kewajaran kos secara menyeluruh.

Faiz pada masa sama menyambut baik komitmen Menteri Kesihatan serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam usaha merealisasikan Hospital Awam Petaling Jaya, termasuk cadangan Taman Medan sebagai antara tapak sedang dinilai.

Menurutnya, pembangunan hospital di kawasan seperti Taman Medan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu serta kelompok B40 akan memberi manfaat besar kepada rakyat Petaling Jaya secara keseluruhan.

Beliau menegaskan rakyat perlu menolak politik sempit dalam isu ini kerana pembinaan hospital awam adalah soal nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat, bukan keuntungan politik mana-mana pihak.

 

 

 

 

 

Scroll to Top