Rome: Sepp Kuss dari Amerika Syarikat meraih kemenangan peringkat pertama dalam kariernya di Giro d’Italia selepas melakukan serangan hebat pada peringkat ke-19 yang melibatkan laluan pergunungan sejauh 151 kilometer dari Feltre ke Alleghe.
Pelumba berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah menjuarai Vuelta a España 2023, namun ini merupakan kemenangan peringkat pertamanya dalam perlumbaan Giro d’Italia.
Kuss melakukan gerakan penentuan kira-kira dua kilometer sebelum garisan penamat selepas memintas pelumba pelarian lama, Giulio Ciccone.
Aksi terbabit membolehkan Kuss meninggalkan pencabar lain sebelum menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya.
Rakan sepasukannya, Jonas Vingegaard turut menampilkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Keputusan itu membolehkan Vingegaard kekal mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan perlumbaan.
Prestasi konsisten Vingegaard turut meletakkan dirinya dalam laluan terbaik untuk merangkul gelaran keseluruhan Giro d’Italia.
Kuss yang mewakili Team Visma–Lease a Bike nyata gembira selepas akhirnya berjaya mencipta kemenangan di pentas Grand Tour berprestij itu.
“Cabaran utama adalah untuk memenangi jersi merah jambu bersama Jonas, dan setakat ini ia kelihatan baik.” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemenangan itu hadir apabila beliau diberi peluang menyertai kumpulan pelarian pada peringkat berkenaan.
“Saya mengambil peluang itu dan ia menjadi detik impian dalam karier saya.” katanya lagi.
Di garisan penamat, Kuss mendedikasikan kejayaan itu kepada keluarganya dan menyifatkan kehadiran ibunya di laluan penamat sebagai detik istimewa.
Perlumbaan kini menuju ke peringkat gunung terakhir sebelum berakhir di Rome, di mana juara keseluruhan akan dinobatkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




